Sebuah pesawat Singapore Airlines menuju ke Hong Kong terpaksa berpatah balik ke Singapura pada Jumaat selepas juruterbang menerima amaran mengenai sebuah pintu kargo yang mengalami masalah, menurut syarikat penerbangan kebangsaan Singapura.

Pesawat Airbus A380 superjumbo yang membawa seramai 263 penumpang itu telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, menurut jurucakap kepada syarikat penerbangan itu.

Kesemua penumpang telah dipindahkan ke pesawat lain yang telah berlepas sekitar jam 0900 GMT.

“Pesawat Airbus A380 penerbangan SQ866 dari Singapura ke Hong Kong telah berpatah balik ke Lapangan Terbang Changi tengah hari hari ini selepas kokpit menerima amaran tentang pintu kargo,” kata jurucakap Singapore Airlines (SIA).

“Jurutera SIA kini sedang mengenal pasti masalah serta punca amaran tersebut diumumkan,” tambahnya.

SQ866 merupakan penerbangan harian dari Singapura ke Hong Kong yang kebiasaannya berlepas pada jam 0500 GMT.

Singapore Airlines mempunya 19 buah pesawat A380 yang beroperasi dari Singapura menuju pelbagai destinasi termasuk Hong Kong, Frankfurt, London dan Los Angeles.

Pada Januari, salah sebuah pesawat A380 tersebut terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Azerbaijan selepas mengalami penurunan tekanan kabin. Syarikat penerbangan itu berkata siasatan kejadian itu menjurus kepada pintu dek utama yang dipercayai mengalami kebocoran.

Lebih daripada 120 pesawat A380 beroperasi seluruh dunia susulan pelancaran pesawat ‘Airbus flagship superjumbo’ pada 2007.