Amaran Perancis pada Israel: “Pemindahan paksa rakyat Palestin adalah jenayah perang”

Agensi
Mac 24, 2024 07:30 MYT
Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) memberi peringatan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari Rafah di selatan Gaza akan menjadi "jenayah perang."
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Ahad memberi peringatan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari Rafah di selatan Gaza akan menjadi "jenayah perang."
Dalam masa sama, Macron mengulangi tentangannya terhadap mana-mana operasi ketenteraan Israel untuk memerangi Hamas di Rafah, di mana kebanyakan penduduk Gaza telah berlindung selepas berbulan-bulan pertempuran sengit di wilayah yang dikepung itu.
Dalam panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin pada hari Ahad, Macron juga "mengutuk sekeras-kerasnya" pengumuman Israel pada hari Jumaat mengenai rampasan 800 hektar tanah di Tebing Barat yang diduduki untuk penempatan baharu.
Aktivis berkata, pengisytiharan Israel bahawa tanah di utara Lembah Jordan kini menjadi "tanah negara" adalah satu-satunya rampasan sedemikian terbesar dalam beberapa dekad.
Dalam panggilan itu, Macron memberitahu Netanyahu mengenai hasrat Perancis untuk membawa draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa "gencatan senjata segera dan berkekalan."
Beliau juga menggesa Israel supaya segera membuka semua titik lintasan ke Gaza.
Serangan darat Rafah yang dirancang telah menghadapi tekanan antarabangsa yang sengit, dengan amaran ia akan menyebabkan korban awam beramai-ramai dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan.
Bagaimanapun, Israel telah menegaskan tindakan itu amat diperlukannya dalam kempennya untuk memusnahkan Hamas.
Perang Gaza dicetuskan oleh serangan Hamas yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Israel telah berikrar untuk memusnahkan kumpulan pejuang Palestin itu yang turut menawan 250 tebusan.
Hampir enam bulan pertempuran antara Hamas dan Israel telah meragut 32,070 nyawa di Gaza.
Israel menghadapi tentangan global yang semakin hebat terhadap kempen ketenteraannya apabila kematian orang awam Palestin semakin meningkat selain keganasan Zionis telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang amat buruk berikutan ribuan rakyat Palestin khususnya kanak-kanak kekurangan zat makanan dan kebuluran yang semakin meluas. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Benjamin Netanyahu #Emmanuel Macron #jenayah perang
;