Amaran kemelesetan ekonomi global tahun 2023 - Bank Dunia

Astro Awani
Januari 11, 2023 18:25 MYT
Bank Dunia mengurangkan unjuran kadar pertumbuhan tahun 2023 kepada hanya 1.7 peratus, pertumbuhan tahunan ketiga paling lemah dalam tempoh 30 tahun. - Gambar fail
BANK DUNIA pada Selasa mengurangkan unjuran kadar pertumbuhan tahun 2023 kepada hanya 1.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding ramalannya sebelum ini iaitu pertumbuhan 3.0 peratus, menurut laporan tahunannya.
Ia bakal menjadi pertumbuhan tahunan ketiga paling lemah dalam tempoh 30 tahun, selepas kemelesetan besar yang berpunca daripada krisis kewangan global 2009 dan pandemik COVID-19 pada 2020.
Unjuran pertumbuhan ekonomi global yang perlahan ini disebabkan perang Rusia-Ukraine yang berterusan, kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah bank pusat, sekali gus meletakkan ekonomi global 2023 di ambang kemelesetan.
Bank Dunia juga meramalkan ekonomi Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dalam zon mata wang Euro akan berkembang hanya setengah peratus tahun ini manakala ekonomi China dijangka tumbuh 4.3 peratus, hampir satu mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini.
Kenyataan laporan Bank Dunia ini akan memberi tekanan buat pasaran baharu serta ekonomi yang sedang membangun apabila mereka perlu bergelut dengan beban hutang yang tinggi, nilai mata wang dan pertumbuhan pendapatan yang lemah, serta pelaburan perniagaan yang perlahan.
#KDNK #COVID-19 #Bank Dunia #Amerika Syarikat #China #Inflasi #ekonomi
;