Amaran kecemasan di Filipina, jangkitan denggi kini catat lebih 115,000 kes

Astro Awani
Julai 26, 2019 07:16 MYT
Pasukan IFRC mendirikan khemah rawatan sementara di seluruh Filipina - Foto IFRC
Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) dan Palang Merah Filipina pada Jumaat mengeluarkan amaran berhubung kes denggi yang melambung di Filipina.
Menerusi kenyataan media, IFRC memberitahu, amaran kecemasan telah dikeluarkan di seluruh Filipina.
"Wabak denggi di Filipina amat membimbangkan dengan lebih daripada 115,000 kes dilaporkan sejak awal tahun ini.
"Jumlah ini 85 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2018.
"Setakat ini, kes denggi di Filipina telah menyebabkan 491 kematian, 30 peratus daripadanya adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur lima hingga sembilan tahun," jelas kenyataan tersebut.
Kes denggi ini terus meningkat selepas bermulanya musim tengkujuh dan dijangka memburuk pada bulan akan datang.
Bagi membantu situasi berkenaan, Palang Merah Filipina turut berusaha membantu kerajaan dalam membanteras wabak itu.
Pengerusinya, Richard Gordon memberitahu, denggi merupakan salah satu penyakit yang paling cepat merebak terutamanya kepada kanak-kanak yang terdedah kepada persekitaran jangkitan.
"Beribu-ribu pesakit kini sedang menjalankan rawatan di hospital tempatan yang mula sesak.
"Dua juta sukarelawan kami kini di seluruh negara dalam membantu meningkatkan kesedaran komuniti terutamanya dalam langkah pencegahan jangkitan serta waktu rawatan yang sepatutnya di samping menjalankan kempen pembersihan pusat pembiakan nyamuk," katanya.
IFRC teleh memperuntukkan lebih RM623,000 (7.2 juta Peso Filipina) daripada Tabung Kecemasan Bantuan Bencana untuk mendirikan khemah rawatan sementara serta menyediakan kakitangan jururawat sukarela untuk menjaga 15,000 pesakit dan ahli keluarga mereka.
#demam denggi #denggi #Filipina #IFRC #jangkitan #kesihatan #nyamuk #Palang Merah Filipina #rawatan kesihatan