Amaran gelombang haba dikeluarkan untuk kebanyakan wilayah di Korea Selatan

Bernama
Julai 19, 2023 06:20 MYT
Nasihat itu dikeluarkan berikutan suhu tertinggi dijangkakan mencecah 33 darjah Celcius atau lebih tinggi sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut. - Gambar hiasan/REUTERS
SEOUL: Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) mengeluarkan amaran gelombang haba untuk kebanyakan wilayah berikutan suhu panas terik yang menyelubungi negara itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Nasihat itu dikeluarkan berikutan suhu tertinggi dijangkakan mencecah 33 darjah Celcius atau lebih tinggi sekurang-kurangnya dua hari berturut-turut.
Wilayah tengah dijangka cerah, manakala cuaca mendung di wilayah selatan.
Pulau peranginan Jeju mungkin mengalami hujan di kawasan pergunungan dari malam Rabu hingga keesokan harinya selain hujan sekejap-sekejap dijangkakan merentasi pulau itu pada Jumaat.
Hujan dijangkakan di kawasan pedalaman pada sebelah petang, dengan selatan Wilayah Gangwon, Wilayah Chungcheong dan beberapa wilayah selatan dijangka menerima hujan lima hingga 20 milimeter.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #amaran gelombang haba #Pentadbiran Meteorologi Korea #suhu panas terik
;