Amaran gelombang haba di New South Wales menjelang Sydney Marathon 2023

Bernama
September 16, 2023 20:47 MYT
Sydney dan bahagian lain di NSW juga berkemungkinan mengalami kualiti udara yang kurang baik ekoran pelaksanaan tindakan pembakaran terancang. - Reuters
SYDNEY: Negeri New South Wales (NSW) Australia mengeluarkan amaran gelombang haba pada hujung minggu ini dan awal minggu depan, menjelang kira-kira 42,000 pelari dijangka menyertai Sydney Marathon 2023 pada Ahad, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Kementerian Kesihatan NSW (NSW Health) menggesa penduduk supaya meminimumkan pendedahan kepada cuaca panas, dengan suhu di kebanyakan wilayah di negeri itu diramalkan melebihi 30 darjah Celsius.
"Cuaca panas akan menyaksikan suhu sehingga 10 darjah Celsius melebihi kebiasaan tahun ini di negeri ini, dan NSW Health menggalakkan orang ramai melindungi diri dan mereka yang mungkin lebih terdedah pada hujung minggu ini," kata pengarah eksekutif Perlindungan Kesihatan NSW Health, Jeremy McAnulty.
Beliau berkata Sydney dan bahagian lain di NSW juga berkemungkinan mengalami kualiti udara yang kurang baik ekoran pelaksanaan tindakan pembakaran terancang.
Sydney Marathon berlangsung pada Ahad dengan sejumlah 42,000 peserta berdaftar, termasuk 17,000 peserta menyertai cabaran sejauh 42 kilometer.
Biro Meteorologi Australia meramalkan suhu tertinggi di Sydney boleh mencecah 30 darjah Celsius pada Ahad, dengan kemungkinan jerebu berpanjangan di bandar itu.
-- BERNAMA
#sydney marathon #cuaca panas #New South Wales #kesihatan
;