Amaran Donald Trump: Malapetaka akan tercetus jika Hamas enggan bebas tebusan Israel

Agensi
Februari 11, 2025 10:30 MYT
Trump memberi peringatan, 'segala malapetaka akan tercetus' jika pasukan pejuang Palestin, Hamas tidak membebaskan tebusan sebelum Sabtu tengah hari ini. - Gambar Reuters
WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi peringatan, 'segala malapetaka akan tercetus' jika pasukan pejuang Palestin, Hamas tidak membebaskan tebusan sebelum Sabtu tengah hari ini.
Sehubungan itu, Trump pada Isnin menggesa Israel untuk membatalkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas jika pasukan pejuang Palestin itu tidak memulangkan tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Peringatan Trump menyusul selepas Hamas mengancam untuk menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu “sehingga diberitahu kelak,” dengan menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Bagi saya, jika semua tebusan tidak dikembalikan sebelum Sabtu pukul 12 tengah hari – saya fikir itu masa yang sesuai (batalkan perjanjian gencatan senjata) dan tiada lagi kompromi, biarkan kekacauan tercetus,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval selepas menandatangani beberapa tindakan eksekutif.
“Saya katakan mereka perlu dikembalikan sebelum pukul 12 tengah hari Sabtu dan jika mereka tidak dikembalikan - kesemuanya, bukan sedikit-sedikit, bukan dua, satu, tiga, empat dan dua. Sabtu pukul 12 tengah hari, selepas itu saya katakan, segala malapetaka akan tercetus.”
Apabila ditanya apa maksud “segala malapetaka” yang mungkin berlaku di Gaza, Trump berkata: “Anda akan tahu dan mereka akan tahu - Hamas akan tahu apa yang saya maksudkan.”
“Saya bercakap bagi pihak diri saya sendiri. Israel boleh mengatasinya, tetapi dari pihak saya, Sabtu pukul 12 tengah hari, dan jika mereka tidak – tidak dikembalikan, segala malapetaka akan tercetus,” tambahnya.
Trump juga meragui ramai tebusan masih hidup untuk dibebaskan, sambil berkata kepada wartawan: “Saya fikir ramai daripada tebusan itu sudah mati.”
Utusan Trump untuk Asia Barat, Steve Witkoff, terlibat dalam merundingkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dimeterai pada penghujung pentadbiran Presiden Joe Biden.
Namun sejak memegang jawatan, Trump menyatakan beliau tidak pasti gencatan senjata itu akan bertahan.
Rancangannya untuk mengusir secara tetap rakyat Palestin dari Gaza dan menjadikan Amerika Syarikat “memiliki” wilayah tersebut menambahkan lagi ketidakpastian terhadap proses ini.
Beliau secara jelas menyatakan dalam satu temu bual hujung minggu lalu bahawa rakyat Palestin tidak akan mempunyai hak untuk kembali ke Gaza di bawah rancangannya untuk mengambil alih wilayah itu dan membangunkannya semula.
“Tidak, mereka tidak akan mempunyai hak itu,” kata Trump dalam satu temu bual di Fox News apabila ditanya sama ada rakyat Palestin akan mempunyai hak untuk kembali.
“Kerana mereka akan mendapat perumahan yang jauh lebih baik. Maksud saya, saya bercakap tentang membina tempat tinggal yang tetap untuk mereka.”
Kenyataan Trump bahawa rakyat Palestin tidak berhak untuk kembali ke Gaza pasti akan meningkatkan penentangan antarabangsa terhadap cadangan tersebut, yang menerima kecaman apabila beliau mengumumkannya minggu lalu dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pada Isnin juga - sehari sebelum bertemu dengan Raja Abdullah dari Jordan di White House, Trump mencadangkan beliau mungkin menahan bantuan kepada Jordan dan Mesir jika mereka tidak menerima pelarian Palestin yang baharu.
“Ya, mungkin, kenapa tidak?” jawab Trump di Pejabat Oval apabila ditanya sama ada beliau akan menahan bantuan Amerika.
“Jika mereka tidak mahu, saya mungkin akan menahan bantuan itu, ya.”
Abdullah, bersama rakan sejawatannya di Mesir dan negara Arab lain telah menolak bulat-bulat rancangan Trump.
Trump sebelum ini telah bercakap mengenai membuat “perjanjian” dengan Jordan dan Mesir untuk menerima lebih ramai rakyat Palestin, dengan merujuk kepada wang yang dihantar Amerika kepada kedua-dua negara tersebut.
“Saya bercakap tentang memulakan pembangunan dan saya fikir saya boleh membuat perjanjian dengan Jordan. Saya fikir saya boleh membuat perjanjian dengan Mesir. Kita memberi mereka berbilion-bilion dolar setiap tahun,” kata Trump kepada Fox dalam temu bual yang dirakam pada Sabtu dan disiarkan pada Isnin.
Selepas beliau mula mengutarakan ideanya mengenai Gaza minggu lalu, beberapa pembantunya cuba memperhalusi atau menjelaskan aspek-aspek rancangan itu.
Karoline Leavitt, Setiausaha Akhbar White House berkata, Trump hanya mencadangkan pemindahan sementara rakyat Palestin sementara Gaza dibangunkan semula.
Setiausaha Negara, Marco Rubio yang berada di Amerika Latin ketika Trump mendedahkan ideanya, mencadangkan bahawa penempatan semula dari Gaza hanya akan bersifat sementara. - Agensi
#Hamas #amaran Donald Trump #malapetaka #tebusan Israel
;