Amaran cuaca buruk di wilayah utara dan selatan Thailand
Bernama
September 6, 2024 21:15 MYT
September 6, 2024 21:15 MYT
BANGKOK: Penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di Thailand digesa agar sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi ribut petir serta hujan lebat yang dijangka melanda wilayah utara, timur laut, timur dan selatan negara itu hujung minggu ini.
Cuaca buruk itu disebabkan oleh monsun barat daya yang kuat di Laut Andaman dan Teluk Thailand, ditambah dengan kesan limpahan daripada Taufan Yagi.
Jabatan Meteorologi Thailand menjangkakan wilayah utara dan timur laut atas akan mengalami hujan lebat hingga sangat lebat berserta angin kencang di beberapa kawasan pada 7 dan 8 September.
"Monsun barat daya agak kuat yang berlaku di Laut Andaman, selatan dan Teluk Thailand akan menyebabkan hujan lebat di beberapa kawasan dengan hujan sangat lebat dijangka di beberapa bahagian wilayah timur dan pantai barat wilayah selatan.
"Penduduk di kawasan ini perlu berhati-hati dengan bahaya yang dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan, mungkin menyebabkan banjir kilat dan limpahan air dari hutan, terutama di kawasan lereng bukit berhampiran laluan air dan kawasan rendah," kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jabatan itu turut menyatakan bahawa ombak di Laut Andaman dan bahagian atas Teluk Thailand dijangka agak kuat, dengan ombak setinggi dua hingga tiga meter, manakala di bahagian bawah Teluk Thailand, ombak akan mencapai ketinggian satu hingga dua meter.
"Kapal di kawasan ini dinasihatkan supaya belayar dengan berhati-hati dan mengelakkan belayar di kawasan yang mengalami ribut petir. Bot-bot kecil di Laut Andaman dan bahagian atas Teluk Thailand dinasihatkan supaya tidak keluar ke laut sehingga 8 September," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA