Amaran bahaya buaya terlepas dari zoo akibat banjir di Thailand

Bernama
Januari 8, 2017 08:45 MYT
Banjir yang melanda 10 wilayah selatan Thailand menyebabkan 744,442 penduduk terjejas, kata pihak berkuasa bencana negara itu. - Foto Bernama
Pihak berkuasa di Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand, menasihati orang ramai supaya berwaspada tentang kemungkinan terdapat buaya yang terlepas daripada sebuah zoo akibat banjir.
Nakorn Si Thammarat adalah antara 10 wilayah di selatan Thailand yang teruk terjejas oleh banjir dan setakat ini, bencana alam itu meragut 12 nyawa serta menyebabkan 744,422 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
"Saya dimaklumkan bahawa beberapa ekor buaya mungkin terlepas dari Zoo Thailand berikutan peningkatan paras banjir, kata pegawai tempatan Nakorn Si Thammarat, Manus Pongyeela, kepada media tempatan pada Sabtu.
Beliau berkata para pegawai juga sedang berusaha menyelamatkan haiwan lain dari zoo itu yang kini dinaiki air.
Menurut Manus, pihak berkuasa mengingatkan mereka yang tinggal berdekatan zoo itu supaya berhati-hati kerana ada kemungkinan haiwan liar lain di zoo itu juga terlepas akibat banjir.
Bahaya daripada buaya yang terlepas menjadi heboh apabila media tempatan ternampak reptilia itu berenang di kawasan sekitar zoo berkenaan ketika mereka merakam gambar dari udara hari ini.
Zoo Thalad mempunyai lebih kurang 10 buaya, sesetengahnya berukuran lebih lima meter panjang, di samping haiwan lain.
Hujan lebat sejak 1 Jan hingga hari ini menyebabkan banjir kilat melanda banyak kawasan di selatan Thailand dan memaksa sebuah lapangan terbang di Nakhon Si Thammarat ditutup. Berikutan itu, 26 penerbangan dibatalkan dan beratus-ratus penumpang terkandas.
Lapangan terbang itu masih ditutup hingga kini.
Gabenor Nakhon Si Thammarat Chamren Thipyapongtada menyifatkan banjir kali ini adalah yang paling buruk di wilayah berkenaan dalam tempoh lebih 50 tahun lepas.
Banjir teruk itu turut mengganggu perkhidmatan kereta api dan bas ke selatan Thailand apabila sesetengah bahagian lebuh raya dan landasan kereta api dinaiki air.
Sepuluh wilayah di selatan Thailand yang terjejas oleh banjir ialah Pattalung, Narathiwat, Yala, Songkhla, Pattani, Trang, Nakhon Si Thammarat, Surat Thani, Chumphon dan Ranong.
Destinasi pelancongan Koh Samui dan Koh Phang Nga juga terjejas oleh bencana alam itu. -- Bernama
#Banjir selatan Thailand #buaya terlepas #Nakorn Si Thammarat
;