Amal Hussein, 'wajah kebuluran' Yaman meninggal

Sinar Harian
November 4, 2018 20:20 MYT
Kanak-kanak malang ini menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Oktober lalu. - Sinar Harian
Seorang kanak-kanak di Yaman berusia tujuh tahun yang mengalami masalah malnutrisi teruk dan menjadi 'wajah kebuluran' di negara itu telah meninggal dunia.
Semalam, beberapa rangkaian berita memetik kenyataan Kementerian Kesihatan turut melaporkan kematian Amal Hussein.
Wajah kanak-kanak itu muncul di The New York Times minggu lalu dalam keadaan dia terbaring di atas katil sebuah pusat kesihatan di Aslam, wilayah Hajjah, 144 kilometer di barat laut Sanaa.
Ibunya, Mariam Ali, mengesahkan budak malang itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Oktober lalu.
"Amal selalu tersenyum. Kini, saya bimbang dengan nasib anak yang lain," katanya.
Minggu lalu, Ketua Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Mark Lowcock menerusi laporannya mendedahkan tiga juta penduduk di negara bergolak itu mengalami malnutrisi termasuk 1.1 juta wanita hamil dan lebih 400,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.
Beliau turut menganggarkan 3.5 hingga empat juta penduduk kehabisan bekalan makanan menjelang beberapa bulan kan datang. - Press TV
#Aman Husin #Kanak-kanak #kebuluran #kesihatan #meninggal dunia #The New York Times #Yaman
;