Aliran penumpang udara naik 45.8 peratus pada April, domestik pulih - IATA

Bernama
Jun 2, 2023 12:39 MYT
Aliran pergerakan penumpang domestik bagi April tahun ini juga meningkat 42.6 peratus daripada tahun lepas dan kini telah pulih sepenuhnya. -Gambar fail/Twitter Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah aliran pergerakan penumpang udara bagi April 2023 melonjak 45.8 peratus berbanding April 2022, dengan trafik global semasa pada 90.5 peratus daripada tahap sebelum COVID-19, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Aliran pergerakan penumpang domestik bagi April tahun ini juga meningkat 42.6 peratus daripada tahun lepas dan kini telah pulih sepenuhnya dengan mencatat kenaikan sebanyak 2.9 peratus berbanding prestasi April 2019.
"Pergerakan antarabangsa naik 48.0 peratus berbanding April 2022 dan semua pasaran mencatat prestasi pertumbuhan sihat, termasuk syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik yang terus menerajui perkembangan pemulihan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, IATA berkata hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) pula mencecah 83.6 peratus daripada April 2019.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata April terus menyaksikan aliran pergerakan kukuh dalam suku pertama 2023, didorong oleh faktor seperti penurunan inflasi, peningkatan keyakinan penumpang serta penyusutan harga bahan api pesawat yang menunjukkan permintaan perjalanan udara semakin baik selain penyederhaan tekanan kos.
"Dalam masa beberapa hari, pemimpin kalangan komuniti penerbangan global akan berhimpun di Istanbul bagi Mesyuarat Agung Tahunan IATA ke-79 dan Sidang Kemuncak Pengangkutan Udara Dunia.
"Aspek pengawalseliaan dan isu utama lain, termasuk kemampanan, akan menjadi antara agenda utamanya," kata Walsh.
Dalam pada itu, bagi syarikat penerbangan rantau Asia Pasifik, IATA berkata terdapat lonjakan 192.7 peratus pada April 2023 berbanding April 2022 manakala kapasiti turut menokok 145.3 peratus dan faktor muatan meningkat 13.2 mata peratusan kepada 81.6 peratus.
"Malah, aliran trafik di Asia juga menunjukkan momentum positif apabila mencecah 55.6 peratus daripada paras sebelum pandemik," katanya.
Syarikat penerbangan Eropah mencatat peningkatan aliran pergerakan penumpang sebanyak 22.6 peratus berbanding April 2022 manakala kapasiti naik 16.0 peratus dan muatan menokok 4.5 mata peratusan kepada 83.3 peratus -- kedua tertinggi dalam kalangan rantau.
Selain itu, syarikat penerbangan Timur Tengah merekodkan peningkatan aliran pergerakan penumpang sebanyak 38.0 peratus manakala syarikat di Amerika Utara menambah 34.8 peratus bagi tempoh April 2023 berbanding bulan sama pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#IATA #COVID-19 #Jumlah aliran pergerakan penumpang udara #trafik global
;