'Alhamdulillah...' - Jokowi bersyukur keputusan COVID-19 negatif

Nailah Huda
Mac 19, 2020 18:23 MYT
Jokowi turut mengucapkan terima kasih kepada para doktor serta semua kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus itu. Foto - Youtube Sekretariat Presiden
PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan isteri Iriana Joko Widodo mengumumkan bahawa hasil keputusan ujian koronavirus COVID-19 mereka adalah negatif.
Dalam satu video yang dimuat naik oleh Biro Pers, Media dan Informasi Sekretariat Presiden, Jokowi turut menjelaskan bahawa keputusan itu diterima selepas menjalankan ujian empat hari lalu.
“Empat hari yang lalu saya dan Ibu Iriana sudah melaksanakan tes deteksi COVID-19 dan hasilnya kemarin sudah disampaikan. Alhamdulillah dinyatakan negatif,” umum beliau di Istana Bogor pada 19 Mac.
Jokowi turut mengucapkan terima kasih kepada para doktor serta semua kakitangan hospital yang berada di barisan hadapan merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus itu.
“Mari kita cegah bersama-sama penyebaran COVID-19 dengan belajar dari rumah, bekerja dari rumah, dan ibadah di rumah,” ujar Presiden itu.
Jokowi serta barisan kabinetnya menjalani ujian koronavirus susulan Menteri Perhubungan (Pengangkutan) Budi Karya Sumadi dinyatakan positif virus tersebut.
Namun, sebelum ini hasil keputusan ujian bagi barisan kabinet dilaporkan tidak akan diberitahu kepada umum kerana ia turut melibatkan pemeriksaan kesihatan umum.
Setakat Khamis, angka kematian akibat COVID-19 di Indonesia mencecah 25 iaitu jumlah tertinggi di Asia Tenggara.
#coronavirus #COVID-19 #Indonesia #Iriana Joko Widodo #Joko Widodo #Jokowi #koronavirus #Presiden Jokowi
;