Alexei Navalny dibenar keluar hospital selepas lebih sebulan diracun agen saraf
Khairunnisa Kasnoon
September 23, 2020 20:16 MYT
September 23, 2020 20:16 MYT
SELEPAS 32 hari dirawat akibat diracun agen saraf, Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny akhirnya dibenarkan discaj dari sebuah hospital di Berlin.
Menurut hospital, pesakit dibenarkan keluar dari wad bedasarkan perkembangan dan keadaan semasa pesakit.
Bagaimanapun doktor memberitahu, ia masih terlalu awal untuk mengukur kesan jangka panjang keracunannya.
Navalny diterbangkan ke Jerman dua hari selepas jatuh sakit pada 20 Ogos ketika dalam penerbangan domestik di Rusia.
Pakar senjata kimia Jerman memaklumkan, lelaki berusia 44 tahun itu diracun dengan agen saraf era Soviet, mendorong Berlin menuntut Rusia menyiasat kes tersebut.
Navalny berada dalam keadaan koma lebih dari dua minggu disebabkan racun tersebut.
Anggota pasukannya menuduh Kremlin terlibat dalam keracunan itu, namun dinafikan keras pegawai Rusia.
Selain itu, Kremlin turut menerima panggilan dari Canselor Jerman, Angela Merkel dan pemimpin lain bagi menjawab soalan mengenai keracunan tersebut.
#agen saraf
#Alexei Navalny
#Berlin
#Jerman
#keracunan
#kremlin
#pakar senjata kimia
#Pembangkang Rusia
#penerbangan
#racun