Alec Baldwin mengaku tidak bersalah tembak ahli sinematografi
Astro Awani
Februari 23, 2023 06:30 MYT
Februari 23, 2023 06:30 MYT
ALEC Baldwin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa sengaja ahli sinematografi, Halyna Hutchins di tapak penggambaran filem Rust.
Pelakon 30 Rock itu membuat pengakuan itu secara dalam talian selain menolak bagi pendengaran kes secara dalam talian pada Jumaat.
Pasukan pendakwaan mendakwa Baldwin, 64, sebagai ‘kecuaian jenayah’ dan berdepan 18 bulan penjara jika disabitkan kesalahan.
Pada Rabu, penerbit filem Rust memutuskan untuk meneruskan penggambaran filem itu pada musim bunga akan datang selepas menukar lokasi ke Montana.
Pendakwaan terhadap Baldwin dilakukan oleh pendakwa daerah Santa Fe, New Mexico di mana lokasi berlakunya tembakan tersebut pada Oktober 2021.
Hannah Gutierrez-Reed, yang bertanggungjawab terhadap senjata dalam penggambaran itu turut didakwa atas pembunuhan tanpa sengaja.
Pendakwa berkata, Gutierrez-Reed, 25, telah gagal untuk memastikan peluru palsu diletakkan di dalam pistol sehingga menyebabkan kematian Hutchins, 42.
Dia turut dijangka hadir ke mahkamah pada Jumaat.
Pada Isnin, pasukan pendakwaan menggugurkan pendakwaan berkait mengubah suai senjata api terhadap kedua-dua mereka yang mana boleh menyebabkan mereka dipenjara selama lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Alasan mereka, pengguguran pendakwaan berkait ubah suai senjata api disebabkan undang-undang itu diluluskan selepas kes tersebut berlaku.
Sebelum ini, peguam Baldwin, Luke Nikas berkata tidak dalam pengetahuan anak guamnya itu terdapat peluru hidup di dalam senjata tersebut atau di mana-mana lokasi dalam set penggambaran itu.
“Dia bergantung kepada individu profesional yang dia bekerjasama, untuk memastikan tiada peluru hidup dalam senjata api tersebut,” kata Nikas.
Pengarah filem Rust, Joel Souza turut terkena tembakan dan cedera dalam insiden yang sama.
Jika didapati bersalah, Baldwin dan Gutierrez-Reed bakal berdepan hukuman penjara selain denda AS$5,000.