Alec Baldwin didakwa sekali lagi bunuh tanpa sengaja

Agensi
Januari 19, 2024 06:15 MYT
Alec Baldwin telah didakwa oleh juri New Mexico atas tuduhan yang berkaitan dengan tembakan sehingga membawa maut pada 2021 di set penggambaran filem "Rust" seperti yang disebut dalam dokumen baharu mahkamah. - Gambar fail REUTERS
AKTOR ternama Hollywood, Alec Baldwin telah didakwa oleh juri New Mexico atas tuduhan yang berkaitan dengan tembakan sehingga membawa maut pada 2021 di set penggambaran filem "Rust" seperti yang disebut dalam dokumen baharu mahkamah.
Baldwin didakwa atas dua pertuduhan membunuh tanpa sengaja.
Pertuduhan pembunuhan tanpa sengaja yang pertama terhadap Baldwin diterangkan dalam dokumen mahkamah sebagai "penggunaan senjata api secara cuai."
Sementara pertuduhan kedua pula disebut sebagai pembunuhan tanpa sengaja, tanpa berhati-hati atau berjaga-jaga yang diperincikan sebagai "perbuatan yang dilakukan dengan tidak menghiraukan atau tidak mengambil berat terhadap keselamatan yang lain.”
"Kami menanti hari persidangan (beri keterangan) di mahkamah," peguam Baldwin, Luke Nikas dan Alex Spiro kepada CNN dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Peguam Baldwin sebelum ini menegaskan anak guamnya tidak bersalah.
Pertuduhan pembunuhan tanpa sengaja telah digugurkan terhadap Baldwin tahun lepas, dengan pendakwa raya berkata, pada masa itu mereka tidak boleh "meneruskan kes berikutan kekangan masa semasa dan atas fakta-fakta serta bukti yang dikemukakan pihak penguat kuasa undang-undang dalam bentuk sedia ada" disebabkan "fakta-fakta baharu” dalam kes itu.
Dalam insiden pada 21 Oktober 2021 itu, ahli sinematografi, Halyna Hutchins terbunuh, manakala pengarah Joel Souza cedera apabila pistol yang dipegang oleh Baldwin melepaskan tembakan tanpa sengaja semasa latihan adegan di set filem Rust di Bonanza Creek Ranch, New Mexico.
Baldwin menafikan menarik picu pada senjata itu dalam wawancara dengan CNN sebelum ini .
Keputusan awal untuk menggugurkan pertuduhan membunuh tanpa rela terhadap Baldwin pada April tahun lalu dibuat selepas pihak berkuasa mengetahui senjata yang digunakan dalam penembakan itu mungkin telah diubah suai, kata sumber penguatkuasa undang-undang kepada CNN.
Bagaimanapun, pendakwa raya berkata kes itu boleh difailkan semula pada masa depan.
Pada Oktober, pendakwa raya berkata "fakta tambahan telah didedahkan yang kami percaya menunjukkan Baldwin bertanggungjawab terhadap kematian Halyna Hutchins" dan memberi isyarat bahawa barisan juri akan memutuskan untuk mengenakan pertuduhan semula terhadap pelakon itu.
Selain Baldwin, tuduhan yang sama turut didakwa ke atas pengurus senjata api dalam filem Rust, Hannah Gutierrez Reed.
Bagaimanapun, dia telah mengaku tidak bersalah dan perbicaraan akan disambung semula pada Februari.
Dalam perkembangan sama, peguam Gloria Allred, yang mewakili keluarga Hutchins dalam tuntutan sivil terhadap Baldwin berkata, keluarga mangsa akan terus mencari kebenaran.
"Mereka terus mencari kebenaran dalam tuntutan sivil dan mereka juga ingin ada pihak yang bertanggungjawab dalam sistem keadilan jenayah.
"Kami menanti perbicaraan yang akan menentukan sama ada dia patut disabitkan atas kematian Hutchins yang tidak terduga," kata Allred
Dua pertuduhan dikenakan terhadap Baldwin dalam dakwaan berkenaan, namun, pada akhirnya beliau hanya boleh dihukum atas satu tuduhan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, Baldwin boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 18 bulan dan denda AS$5,000.
Perbicaraan kes terhadap Baldwin, 65, sejak dari awal lagi diwarnai dengan kontroversi terutama apabila pendakwa raya Andrea Reeb dipaksa meletakkan jawatan berikutan tuduhan memiliki konflik kepentingan oleh pasukan pembelaan. - Agensi
#Alec Baldwin #bunuh tanpa sengaja #Halyna Hutchins #set filem Rust
;