Albania sekat akses TikTok selama setahun selepas tragedi remaja dibunuh
Astro Awani
Disember 22, 2024 08:45 MYT
Disember 22, 2024 08:45 MYT
ALBANIA mengumumkan larangan selama setahun terhadap aplikasi video pendek popular TikTok, pada Sabtu.
Ia susulan kejadian pembunuhan seorang remaja bulan lalu yang menimbulkan kebimbangan pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.
Larangan ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk menjadikan sekolah lebih selamat, menurut Perdana Menteri Edi Rama selepas bertemu dengan kumpulan ibu bapa dan guru dari seluruh negara.
Rama berkata, selama setahun negara itu akan menutup sepenuhnya akses kepada TikTok.
Beberapa negara Eropah seperti Perancis, Jerman dan Belgium telah melaksanakan sekatan terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.
Australia pada November lalu meluluskan larangan penuh media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, menjadikannya salah satu peraturan paling ketat di dunia terhadap syarikat teknologi besar.
Rama menyalahkan media sosial, khususnya TikTok, kerana menyemarakkan keganasan dalam kalangan belia di dalam dan luar sekolah.
Keputusan kerajaan Albania ini dibuat selepas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditikam hingga mati pada November oleh rakan sekelasnya.
Media tempatan melaporkan insiden itu berpunca daripada pertelingkahan di media sosial.
Video juga muncul di TikTok menunjukkan kanak-kanak bawah umur menyokong pembunuhan tersebut.
Sementara itu, TikTok menyatakan pihaknya sedang mendapatkan "penjelasan segera" daripada kerajaan Albania.
Jurucakap syarikat itu berkata, pihaknya tidak menemui bukti bahawa pelaku atau mangsa memiliki akaun TikTok dan beberapa laporan juga mengesahkan, video berkaitan insiden ini sebenarnya dimuat naik di platform lain dan bukan TikTok.
Langkah drastik Albania ini mencerminkan keprihatinan global yang semakin meningkat terhadap kesan negatif media sosial terhadap generasi muda dengan lebih banyak negara mempertimbangkan peraturan ketat untuk melindungi kanak-kanak daripada pengaruh buruk dalam talian.