Alat pengesan tsunami ditambah dan diganti baharu - Jokowi
Astro Awani
Disember 24, 2018 09:35 MYT
Disember 24, 2018 09:35 MYT
Indonesia akan menambah alat pengesan tsunami bagi mengelak tragedi tsunami di Selat Sunda pada Sabtu berulang.
Pada masa sama, Presiden Joko Widodo memaklumkan, kerajaan akan menggantikan kesemua alat pengesan yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.
Ia bagi memastikan sistem amaran tsunami dapat berfungsi dengan lebih efektif, katanya pada Ahad di Banggai, Sulawesi Tengah.
"Ya, saya telah mengarahkan supaya semua peralatan (mengesan tsunami) diperiksa dan yang rosak diperbaiki.
"Dalam perbelanjaan baru bagi tahun 2019, pada awal Januari ini, saya akan arahkan supaya diganti semua peralatan yang rosak dan peralatan lama yang tidak lagi boleh digunakan," kata Jokowi kepada pihak media.
Pada Sabtu, tsunami berlaku jam 9.27 malam disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan letusan gunung berapi Anak Krakatau.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia masih melakukan penyelidikan terperinci berhubung punca sebenar fenomena itu.
Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau, disusuli gelombang air pasang.
Kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba dan tiada sistem amaran awal dikeluarkan.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata, tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukan akibat berlakunya gempa bumi.
"Ini suatu kes yang tidak biasa, tsunami tanpa gempa. Jadi, gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau," katanya.
Terdahulu, Jokowi meluahkan rasa sedih terhadap tragedi yang melanda rakyatnya susulan kejadian tsunami di Banten itu, dengan tiga wilayah paling teruk terjejas, iaitu Pandeglang, Serang dan Lampung Selatan.
Pesannya kepada rakyat Indonesia, semoga ahli keluarga yang ditinggalkan mangsa tragedi itu diberikan kesabaran.
Beliau turut berkata, jumlah angka korban pasti akan meningkat kerana pengumpulan data masih sedang dijalankan.
Setakat jam 11.30 malam waktu tempatan, angka korban tsunami itu telah meningkat kepada 229 kematian, sementara 408 orang lain masih hilang, 720 cedera dan lebih 4,000 mangsa telah dipindahkan.
#alat pengesan
#cedera
#gempa bumi
#Indonesia
#Joko Widodo
#keluarga
#kerajaan
#mangsa
#rakyat
#rosak
#Selat Sunda
#tsunami