Al Jazeera ulangi ikrar bela kematian wartawan Shireen Abu Akleh
Agensi
Mei 11, 2023 06:40 MYT
Mei 11, 2023 06:40 MYT
DOHA: Stesen berita antarabangsa, Al Jazeera mengulangi ikrar akan terus mencari keadilan atas kematian wartawannya, Shireen Abu Akleh yang genap setahun semalam (11 Mei) meninggal dunia selepas ditembak oleh tentera Israel.
Shireen yang juga koresponden Al Jazeera selama 25 tahun ditembak dalam serangan yang berlaku sekitar pukul 6.30 pagi ketika beliau bersama-sama sepasukan wartawan lain sedang berdiri di pintu masuk kem pelarian di Jenin, Tebing Barat.
Kesemua wartawan yang berada di situ bagi mengadakan liputan serangan tentera rejim Israel ketika itu memakai jaket (vest) biru sebagai pengenalan diri pengamal media.
Israel pada awalnya menafikan tenteranya melakukan tembakan itu, namun, tidak lama selepas itu mengakui pihaknya ‘secara tidak sengaja’ berbuat demikian.
Bagaimanapun, dalam masa sama, Israel enggan melancarkan sebarang siasatan ke atas jenayah itu.
“Al Jazeera mengulangi rayuan kepada pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan organisasi kebebasan media untuk terus menyokong kes Shireen dan membantu mengakhiri pengecualian jenayah terhadap wartawan,” kata saluran berita itu lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
“Rangkaian Media Al Jazeera kekal komitmed dengan janjinya kepada keluarga dan rakan-rakan Shireen untuk mencari keadilan kepada Shireen dengan mendesak melalui pelbagai cara untuk memastikan pembunuhnya diheret ke pengadilan termasuk melalui Mahkamah Jenayah Antrabangsa di The Hague,” tegas kenyataan itu lagi.
Ketika Al Jazeera mengulangi pendirian untuk menjejaki kebenaran terhadap kematian wartawan ternamanya itu, CNN pula melaporkan, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memohon maaf di atas kematian Shireen, genap setahun selepas pemergiannya akibat peluru menembusi belakang kepalanya ketika membuat liputan di Jenin.
Ini merupakan permohonan maaf pertama kali dibuat oleh IDF di atas kejadian pembunuhan wartawan ternama itu sambil mengakui, terdapat ‘kemungkinan besar’ Shireen ditembak oleh tentera Israel.
Pada Disember lalu, Al Jazeera mengemukakan permintaan pada mahkamah berkenaan untuk menyiasat dan mengadili pelaku yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan wartawan Palestin-Amerika yang juga dikenali sebagai ‘Suara Palestin’ itu.
Al Jazeera turut menegaskan, hanya badan penyiasat bebas dan tidak berpihak kepada sesiapa sahaja yang akan menyingkap kebenaran di sebalik pembunuhan itu.
"Kejahatan yang dilakukan terhadap kami tidak akan mengurangi tekad kami," kata Mostefa Souag yang juga Ketua Pengarah stesen berkenaan pada acara memperingati kematian Shireen di ibu pejabat Al Jazeera di Doha pada Khamis.
"Kami akan terus berusaha mencari kebenaran. Kami juga akan melakukan yang terbaik untuk mengakhiri pelanggaran terhadap kebebasan media.
"Al Jazeera akan terus mencari cara lain untuk memastikan bahawa pembunuh wartawan tidak akan terlepas daripada hukuman," jelas beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menyokong usaha menggesa penyiasatan dilakukan, namun Rumah Putih, katanya, dalam masa sama menegaskan, Israel harus mengetuai siasatan itu.
Beberapa media, termasuk siasatan yang dibuat Al Jazeera serta badan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan, Israel harus bertanggungjawab atas pembunuhan Shireen.