Al Jazeera diharamkan di Israel, operasi ditutup serta-merta

Agensi
Mei 5, 2024 21:16 MYT
Dalam satu kenyataan di laman media sosial X, Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi berkata setiap peralatan yang digunakan untuk penyiaran saluran Al Jazeera akan disita pada kadar segera. - Gambar fail
Kerajaan Israel sebulat suara memuktamadkan keputusan penutupan operasi saluran berita 24 jam, Al Jazeera di negaranya berkuat kuasa serta merta.
Pengumuman itu dibuat menerusi undian undang-undang berkaitan di kabinet Israel yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan Zionis dan perkongsian di laman media sosial 'X' Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad.
Ia dikuatkuasakan dibawah undang-undang baharu yang mengharamkan stesen serta siaran Al Jazeera yang dimiliki Qatar.
Benjamin Netanyahu sebelum ini menyifatkan Al Jazeera sebagai saluran pengganas dan sebagai ancaman kepada kerajaan pimpinannya.
Dalam satu kenyataan berasingan di laman media sosial X, Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi berkata setiap peralatan yang digunakan untuk penyiaran saluran Al Jazeera akan disita pada kadar segera.
Ini termasuk kamera, alatan untuk menyunting, mikrofon, sistem rangkaian, komputer riba serta telefon bimbit.
Terdahulu, keputusan kerajaan Israel untuk bertindak demikian mencetus kebimbangan Amerika Syarikat yang juga sekutu Israel.
Ini berikutan wartawan asing dilarang memasuki Gaza, hanya kakitangan Al Jazeera yang berpangkalan di wilayah konflik itu satu-satunya wartawan yang berpeluang membuat liputan mengenai perang antara Israel dan pasukan pejuang Hamas di lapangan.
#Al Jazeera #ditutup #Israel #Perdana Menteri Benjamin Netanyahu #saluran berita #Dakwaan ancaman keselamatan negara
;