"Aku tumbuk muka kau, OK!", Presiden Brazil marah ditanya isu dana masuk akaun isteri
Agensi
Ogos 24, 2020 14:49 MYT
Ogos 24, 2020 14:49 MYT
Presiden Brazil Jair Bolsonaro pada Ahad mengejutkan sidang media apabila dia mengugut mahu menumbuk seorang wartawan di mukanya, lapor Reuters.
Semua itu gara-gara wartawan berkenaan bertanyakan tentang sejumlah deposit yang dimasukkan ke akaun isterinya, Michelle Bolsonaro, oleh bekas pembantu salah seorang anak lelaki mereka.
"Aku tumbuk muka kau, OK?" bentak Bolsonaro sebagai jawapan kepada soalan wartawan daripada syarikat akhbar O Globo, yang terakam secara audio.
Awal bulan ini, media tempatan melaporkan bahawa bekas pembantu itu, Fabricio Queiroz, mendeposit sejumlah 72,000 Reai (RM53,522) dalam bentuk cek ke dalam akaun bank Wanita Pertama Brazil berkenaan antara tahun 2011 dan 2018.
Queiroz pernah berkhidmat sebagai pembantu anak lelaki Presiden Jair, Flavio Bolsonaro, yang kini dilantik sebagai Senator. Tempoh berkhidmat itu adalah ketika Flavio menjadi penggubal undang-undang Rio de Janeiro.
Queroz kini ditahan untuk siasatan berhubung transaksi yang mencapai jumlah 1.2 juta Reai (RM892,000).
Penahanan itu menghantui keluarga Bolsonaro sekali gus mencalar reputasinya yang sebelum ini berikrar untuk memerangi rasuah.