Aktres legenda Lauren Bacall mati akibat strok
AFP
Ogos 13, 2014 10:41 MYT
Ogos 13, 2014 10:41 MYT
Aktres legenda, Lauren Bacall yang pernah menyinari layar perak melalui beberapa filem klasik bersama suaminya Humphrey Bogart, meninggal dunia pada Selasa di usia 89 tahun.
“Dengan rasa dukacita, namun penuh penghargaan, kami mengesahkan Lauren Bacall telah meninggalkan kita,” menurut kenyataan ringkas daripada keluarga Bogart.
Media Amerika Syarikat berkata Bacall mati setelah mengalami strok di kediamannya di New York pada pagi Selasa.
Bacall, yang nama sebenarnya Betty Joan Perske, telah menggegarkan Hollywood melalui penampilan layar peraknya yang pertama pada tahun 1944 dalam filem "To Have and Have Not," di mana mendiang bertemu Bogart dan “mengajarnya bersiul."
Berbekalkan renungan yang menggoda serta suara yang serak-serak basah, nama Bacall menjadi siulan ramai dan merupakan artis yang digilai di Hollywood dan Broadway.
Bacall meninggalkan dua anak hasil perkongsian hidup dengan pelakon legenda Bogart yang meninggal dunia akibat kanser tekak pada tahun 1957.