Aktivis, wartawan Mexico dakwa kerajaan pasang perisian intipan dalam telefon pintar mereka
Agensi
Jun 20, 2017 12:02 MYT
Jun 20, 2017 12:02 MYT
Aktivis, peguam hak asasi manusia dan wartawan di Mexico telah memfailkan aduan jenayah berikutan sebuah laporan bahawa telefon pintar mereka dijangkiti perisian pengintipan yang dijual kepada kerajaan untuk memerangi penjenayah dan pengganas.
Aduan daripada sembilan individu tersebut dikemukakan ke pejabat Peguam Negara susulan New York Times melaporkan beberapa daripada mereka telah diintip melalui perisian yang dikenali sebagai Pegasus - yang dijual oleh syarikat Israel, kumpulan NSO kepada kerajaan Mexico.
Menurut sebuah laporan kumpulan penyelidik yang menyiasat dakwaan pengintipan itu, aduan tersebut menyatakan pejabat Peguam Negara dan Kementerian Pertahanan adalah antara organisasi yang membeli perisian itu.
Mereka yang mendakwa disasarkan perisian itu antaranya termasuk Carmen Aristegui, seorang wartawan yang membantu mendedahkan bahawa isteri Presiden Enrique Pena Nieto memperoleh sebuah rumah dari kontraktor utama kerajaan, serta Carlos Loret de Mola, seorang wartawan di rangkaian televisyen terkemuka Televisa (TLVACPO.MX).
Sementara itu, individu lain yang membuat aduan tersebut adalah aktivis antirasuah dan peguam yang mewakili 43 keluarga guru pelatih yang hilang dan dibunuh secara beramai-ramai pada tahun 2014 hingga menyulitkan pasukan perhubungan awam Pena Nieto.
Daniel Millan, seorang jurucakap mewakili pejabat Pena Nieto, mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti kerajaan Mexico bertanggungjawab atas pengintipan seperti yang dilaporkan New York Times.
“Kami membantah sebarang percubaan untuk melanggar hak peribadi seseorang,” menurut kenyataan itu.
Laporan Reuters pada 2015 menunjukkan permintaan pengawasan kerajaan meningkat secara mendadak di Mexico, lantaran kebimbangan mengenai masalah rasuah, dan pertelingkahan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penjenayah.
Kerajaan Mexico membeli perisian itu dari kumpulan NSO yang bernilai AS$80 juta atas sebab ia hanya akan digunakan untuk menyiasat penjenayah dan pengganas, lapor New York Times.
#hilang
#Israel
#jenayah
#kerajaan
#Mexico
#New York
#Peguam Negara
#pengganas
#pengintipan
#perisian
#presiden
#Rasuah
#telefon pintar