Aktivis wanita Arab Saudi dibebaskan selepas 1,001 hari dijel

Sinar Harian
Februari 11, 2021 09:11 MYT
Aktivis yang berusia 31 tahun itu ditahan pada bulan Mei 2018 bersama sejumlah aktivis wanita. - Foto AP
RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi pada Rabu membebaskan aktivis hak asasi wanita, Loujain al-Hathloul selepas hampir tiga tahun dia dipenjarakan.
"Loujain ada di rumah selepas 1,001 hari berada di penjara," kata adiknya, Lina al-Hathloul menerusi Twitternya yang turut memuat naik gambar Loujain.
Aktivis yang berusia 31 tahun itu ditahan pada bulan Mei 2018 bersama sejumlah aktivis wanita.
Loujain dibebaskan beberapa minggu sebelum larangan memandu terhadap wanita di negara itu ditarik balik.
Ia merupakan tuntutan pembaharuan yang lama diperjuangkan oleh mereka.
Pada lewat Disember lalu, sebuah mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lapan bulan terhadap Loujain berhubung dakwaan berkaitan keganasan dan menghasut supaya perubahan rejim pemerintahan berlaku di Arab Saudi.
Dalam pada itu, keluarganya membuat kenyataan bahawa Loujain akan dibebaskan lebih awal.
"Bagaimanapun, mahkamah melarang Loujain meninggalkan negara itu selama lima tahun", kata ahli keluarganya.
Sebelum ini, keluarganya mengutuk perbicaraannya itu bermotifkan politik
Arab Saudi juga pernah mengalami tekanan antarabangsa untuk membebaskannya kata satu sumber yang rapat dengan keluarga Loujain kepada AFP.
#Loujain al-Hathloul #aktivis #Bebas #Arab Saudi
;