Aktivis Thailand dijangkiti COVID-19 ketika dalam penjara
Bernama
Mei 6, 2021 04:00 MYT
Mei 6, 2021 04:00 MYT
BANGKOK: Peguam hak asasi manusia Thailand, Arnon Nampa yang ditahan di penjara sejak Februari lalu disahkan dijangkiti COVID-19, kata Jabatan Penjara.
Arnon, 36, dituduh di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan (lese-majeste) kerana menghina sistem monarki ketika menyertai demonstrasi tahun lalu.
Dia yang tidak dibenar diikat jamin diuji positif pada Rabu.
Media tempatan melaporkan Arnon dipercayai dijangkiti virus itu daripada seorang lagi penunjuk perasaan yang turut ditahan, Chukiat Sangwong yang diuji positif pada 23 April.
Buat masa ini, dia sedang menerima rawatan di hospital penjara.
Arnon satu daripada pemimpin utama di sebalik tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok yang menuntut perubahan politik, termasuk Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha meletak jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan semula Perlembagaan dan reformasi sistem monarki .
Beberapa pemimpin tunjuk perasaan yang lain turut ditahan selama beberapa minggu tanpa dibenar ikat jamin dan berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Sementara itu, pemimpin tunjuk perasaan, Panusaya Sithijirawattanakul dibenar diikat jamin oleh mahkamah di sini hari ini.
Pelajar berusia 22 tahun itu didakwa di bawah lese-majeste selepas mengetuai tunjuk perasaan di Universiti Thammasat dan Sanam Luang tahun lalu.
Media tempatan melaporkan sebagai syarat ikat jamin, Panusaya tidak dibenar ke luar negara dan menyertai sebarang aktiviti demonstrasi membantah sistem monarki.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin 200,000 baht.
-- BERNAMA
#aktivis Thailand
#Arnon Nampa
#COVID-19
#Jabatan Penjara
#peguam hak asasi manusia
#Chukiat Sangwong