Aktivis terlibat protes, lekatkan badan atas jalan dipenjara 8 bulan

Bernama
September 22, 2023 18:36 MYT
Last Generation dilapor sudah mengubah cara bantahan iaitu daripada melekatkan diri pada jalan raya, aktivis kini menghalang lalu lintas dengan berjalan di atas kenderaan. - Gambar/ X @Letzte Generation
BERLIN: Seorang aktivis iklim daripada kumpulan alam sekitar Last Generation dijatuhi hukuman penjara lapan bulan tanpa parol di Berlin pada Khamis, jurucakap mahkamah mengesahkannya kepada media tempatan.
Penghakiman bagaimanapun masih belum selesai, lapor Xinhua.
Wanita berusia 41 tahun itu menyertai beberapa sekatan jalan raya pada Oktober 2022, dan dalam dua kes, dia melekatkan dirinya atas jalan menggunakan gam.
Walaupun pejabat pendakwa raya hanya meminta wanita itu didenda, mahkamah menjatuhkan hukuman tertinggi yang pernah berlaku untuk jenayah seumpama ini di Jerman. Dalam sabitan jenayah yang sama sebelum ini, pesalah hanya dikenakan hukuman penjara tiga hingga empat bulan, selain terdapat kes yang digugurkan.
"Perbezaan hukuman untuk kesalahan yang sama seperti ini tidak masuk akal," kata Last Generation melalui X. Ahli kumpulan itu dikenali sebagai Klimakleber (pelekat iklim) di Jerman kerana kerap melekatkan diri mereka atas jalan raya dan infrastruktur.
Menurut media tempatan, Last Generation sudah mula mengubah cara bantahan mereka. Daripada melekatkan diri pada jalan raya, aktivis kini menghalang lalu lintas dengan berjalan di atas kenderaan, namun mereka diserang oleh pemandu di Berlin.
-- BERNAMA
#Last Generation #perubahan iklim #Klimakleber #hukuman penjara
;