Aktivis Taiwan lancar kempen 'minta maaf' untuk sindir China

Agensi
Julai 18, 2016 20:34 MYT
Aktor Leon Dai menjadi mangsa apabila dikatakan gagal menjelaskan pendirian politik kepada produksi filem China. - Foto AFP
Golongan aktivis Taiwan melancarkan kempen ‘Say Sorry To China’ (Minta maaf kepada China) di media sosial dengan tujuan menyindir kuasa besar itu selepas pembikin filem China menggugurkan nama seorang pelakon dalam filemnya hanya kerana aktor itu dikatakan terlibat dengan gerakan pemisahan Taiwan.
Kempen di Facebook itu telah menarik perhatian puluhan ribu pengikut dan beribu-ribu muat naik sejak Sabtu (16 Julai).
Netizen Taiwan secara sarkastik ‘meminta maaf’ kepada China atas pelbagai perkara remeh – daripada menganggap Taiwan sebagai sebuah negara, kerana menikmati makanan Jepun hinggalah kerana menggunakan iPhone.
“Saya cadangkan semua orang perlu meminta maaf kepada China yang hebat itu setiap kali sebelum makan malam. Kita perlu ‘berterima kasih’ kepada China kerana memberi kita makanan dan mengingatkan kami betapa ‘hebatnya’ China,” ujar salah seorang pengikut Facebook itu secara menyindir.
Kempen itu bermula selepas seorang aktor Taiwan, Leon Dai, dibatalkan peranannya dalam filem oleh pengarah Zhao Wei berjudul ‘No Other Love’, hanya kerana aktor itu pernah menyokong kempen Sunflower Movement yang mempertikai pakatan perdagangan dengan China.
Zhao dalam satu kenyataan melalui Weibo berkata, Dai digantikan kerana gagal menjelaskan pendirian politiknya.
“Kita semua bangsa China dan kita harus berpegang kepada objektif penyatuan ibu pertiwi. Kita tidak boleh bertoleransi dengan kepalsuan dan ketidakpastian terutamanya berkenaan kepentingan nasional,” ujar Zhao.
Sementara itu, Dai telah mengeluarkan permohonan maaf kepada pelabur dan kru penggambaran akibat kontroversi itu, sambil menambah bahawa dia tidak bercakap tentang ‘pemisahan’.
Aktivis Wang Yi-kai berkata, kempen di Facebook itu dibuat untuk ‘mengejek tekanan dan tindakan membuli oleh China’.
Sebelum ini seorang artis Taiwan genre K-Pop, Chou Tzu-yu, juga dipaksa meminta maaf kerana mengibarkan bendera Taiwan dalam siaran langsung Internet. Insiden itu menimbulkan kemarahan China yang menuduh Chou berpihak kepada usaha pemisahan Taiwan dari China.
Pada Februari lalu, diva pop Madonna juga menimbulkan rasa tidak puas hati kerana membaluti dirinya dengan bendera Taiwan sewaktu persembahan konsert di Taipei.
#aktivis Taiwan #aktor #kempen media sosial #Leon Dai #Say Sorry To China #Taipei
;