Aktivis politik Thailand meninggal dunia dalam tahanan
Astro Awani
Mei 14, 2024 07:20 MYT
Mei 14, 2024 07:20 MYT
BANGKOK: Seorang aktivis politik Thailand yang dituduh menghina institusi Diraja negara berkenaan meninggal dunia ketika dalam tahanan selepas mengadakan mogok lapar selama beberapa bulan.
Netiporn 'Bung' Sanesangkhorn meninggal dunia selepas jantungnya "berhenti berfungsi secara tiba-tiba" pada Selasa pagi, kata Jabatan Pemulihan.
Aktivis berusia 28 tahun itu, yang terlibat dalam gerakan belia yang menuntut reformasi monarki, ditahan sejak 26 Januari lalu.
Dia berdepan tujuh kes mahkamah termasuk dua pertuduhan pelanggaran lese-majeste atau menghina monarki.
Sanesangkhom memulakan mogok lapar sehari selepas ditahan, hanya mula mengambil minuman pada akhir bulan Februari dan makanan pada April.
Dia juga pernah dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.
Sanesangkhom menuntut reformasi pada sistem keadilan Thailand, termasuk perubahan pada undang-undang lese-majeste, yang melarang sebarang komen mengkritik keluarga Diraja.
Dia didakwa dalam dua kes melibatkan lese-majeste, satu berkenaan pandangan umum terhadap gangguan pada aliran trafik disebabkan konvoi Diraja.
Jika didapati bersalah, Sanesangkhom berdepan hukuman penjara selama 15 tahun untuk setiap pertuduhan.
Undang-undang lese-majeste Thailand adalah salah satu yang paling ketat di dunia bagi melindungi istana daripada kritikan.
Lebih 260 orang telah didakwa menghina monarki sejak tahun 2020.
Awal tahun ini seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 50 tahun di bawah undang-undang itu.