Aktivis hak asasi manusia Malala Yousafzai akhiri zaman bujang

Astro Awani
November 10, 2021 08:22 MYT
Malala Yousafzai umum telah melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya pada Selasa. -Instagram
MALALA Yousafzai umum telah melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya pada Selasa.
Aktivis hak asasi manusia dari Pakistan yang pernah memenangi Hadiah Keamanan Nobel itu mengumumkan perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
“Hari ini menandakan hari yang amat berharga dalam hidup saya.
"Saya dan Asser melangsungkan perkahwinan untuk menjadi pasangan seumur hidup.
"Kami mengadakan majlis nikah secara kecil-kecilan di rumah kami di Birmingham bersama keluarga.
“Mohon doakan kebahagiaan kami. Kami teruja untuk melayari hidup bersama dalam hari-hari mendatang,” tulis Malala.
Difahamkan suami Malala, Asser Malik yang berasal dari bandar Lahore ialah pengurus operasi untuk Lembaga Kriket Pakistan.
Malala mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana kesungguhannya menentang usaha Taliban untuk menghalang kaum wanita daripada mengikuti sesi persekolahan formal.
Ketika berusia 15 tahun, beliau ditembak di kepala oleh anggota Taliban dan diterbangkan ke England untuk menerima rawatan.
Pada 2014, beliau menang Hadiah Keamanan Nobel pada usia 17 tahun, sekali gus menjadi pemenang hadiah termuda.
Tahun lepas, Malala dikurniakan ijazah dalam Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford.
#Malala Yousafzai #aktivis hak asasi manusia #Hadiah Keamanan Nobel #melangsungkan perkahwinan
;