Aktivis ditahan atas dakwaan membakar potret Raja Thailand

Agensi
Mac 3, 2021 14:45 MYT
Aktivis pro-demokrasi Panusaya "Rung" Sithijirawattanakul, Panupong "Mike" Jadnok, Chaiamorn Kaewwiboonpan (kanan), dan beberapa aktivis lain menerima kuntuman bunga semasa mereka hadir memberi keterangan di Bangkok. - Reuters
BANGKOK: Seorang aktivis anti-kerajaan yang dituduh membakar potret Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ditangkap polis pada Rabu, menjadikannya antara puluhan individu yang didakwa menghina institusi raja sejak beberapa bulan lalu.
Reuters melaporkan, aktivis dan juga pemuzik Chaiamorn "Ammy" Kaewwiboonpan, 32, ditahan di wilayah Ayutthaya kerana didakwa sengaja membakar potret Raja Thailand pada Ahad di hadapan penjara Bangkok.
Di penjara itu, empat lagi aktivis berpengaruh sedang ditahan.
Chaiamorn didakwa di bawah undang-undang lese majeste yang membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara, selain dakwaan sengaja mencetuskan kebakaran dan menceroboh kawasan kerajaan.
"Kami memiliki bukti forensik dan kenyataan saksi,” ujar Ketua Polis Bangkok, Pakapong Pongpetra, dalam satu sidang media.
Chaiamorn sebelum ini menerima rawatan di hospital berkaitan kecederaannya semasa ditahan.
Peguam bela Sasinan Thamnithinan berkata, dia akan diberi akses untuk menemui Chaiamorn pada petang Rabu selepas pihak polis mengambil kenyataan dari anak guamnya itu.
Protes yang diketuai golongan belia selama berbulan-bulan terhadap pemerintahan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha telah memecah tradisi apabila seruan reformasi ke atas monarki lantang disuarakan.
Sekurang-kurangnya 61 orang didakwa di bawah lese majeste, menurut data yang dikumpul oleh kumpulan hak asasi pengamal undang-undang Thailand.
Empat daripadanya merupakan pemimpin protes berpengaruh yang kini di dalam penjara menantikan perbicaraan.
Pembakaran potret raja itu berlaku pada hari yang sama perarakan penunjuk perasaan di pangkalan tentera Bangkok, bagi mendesak Raja Thailand melepaskan kawalan secara langsung ke atas unit tentera.
Polis menggunakan peluru getah buat kali pertama untuk mengawal penunjuk perasaan pada Ahad, selain menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
#aktivis #Thailand #Bangkok #prodemokrasi #bakar potret raja #Raja Thailand #polis thailand #tunjuk perasaan #lese majeste
;