Aktivis berusaha tamatkan pembiayaan awam penternakan "kejam" sotong kurita

Bernama
Oktober 20, 2024 05:00 MYT
Sotong kurita dikatakan tertakluk kepada penternakan yang "kejam dan tidak mampan", menurut Compassion in World Farming (CIWF). - Foto hiasan
BERLIN: Bijak dan lincah menavigasi laluan, menukar warna, menggunakan alatan, membuka balang dan seolah-olah mengenali orang yang berbeza, sotong kurita sememangnya satu daripada makhluk alam yang paling menarik dan misteri.
Namun, sotong kurita dikatakan tertakluk kepada penternakan yang "kejam dan tidak mampan", menurut Compassion in World Farming (CIWF), yang menerbitkan data menunjukkan bahawa kerajaan di seluruh dunia membelanjakan berjuta-juta dolar wang awam untuk amalan itu.
Sepanyol dituduh membelanjakan hampir EUR10 juta (AS$10.9 juta) untuk menternak sotong kurita, dengan hampir separuh daripada peruntukan itu datang dari Kesatuan Eropah manakala Australia, Chile, Mexico dan New Zealand turut disenaraikan sebagai negara yang terlibat dalam amalan berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Namun, menurut CIWF, "maklumat mengenai pembiayaan awam untuk projek ini selalunya tidak tersedia secara bebas," yang menunjukkan jumlah sebenar yang dibelanjakan mungkin lebih tinggi.
CIWF menyatakan bahawa mereka telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Sepanyol dari parti sosialis, Pedro Sanchez, memohon agar kerajaan menghentikan pembiayaan kepada ladang itu.
Permohonan itu menyusul selepas negeri di Amerika Syarikat seperti California dan Washington melarang penternakan sotong kurita, berserta kempen di negara itu untuk melaksanakan larangan di peringkat persekutuan.
CIWF dan Eurogroup for Animals, sebuah lagi organisasi bukan kerajaan, mengatakan terdapat sokongan kuat daripada orang awam untuk memastikan hanya akuakultur dan penternakan ikan yang "mampan" dibenarkan.
CIWF menegaskan bahawa sotong kurita sangat tidak sesuai untuk penternakan kerana haiwan akuatik itu adalah haiwan liar yang "sangat pintar dan secara semula jadi menyendiri."
Kempen ini mendapat sokongan pelakon Alan Cumming, yang menyifatkan pembiayaan awam untuk penternakan sotong kurita sebagai "mengejutkan" dan menuntut amalan "kejam dan merosakkan alam sekitar" ini dihentikan. - BERNAMA
#sotong kurita #penternakan kejam #aktivis #CIWF
;