Aktivis bantah cadangan perketat undang-undang antikeganasan Indonesia
Agensi
Mac 18, 2016 20:33 MYT
Mac 18, 2016 20:33 MYT
Aktivis hak asasi manusia pada Jumaat menggesa Parlimen Indonesia menolak cadangan pemerintah untuk mengetatkan undang-undang antikeganasan di negara tersebut.
Pindaan undang-undang tersebut dicadangkan berikutan serangan militan di Jakarta pada Januari lalu, lapor Reuters.
Antara lain, undang-undang itu membolehkan penahanan tanpa perbicaraan seseorang inidividu sehingga tiga bulan serta penahanan ke atas mana-mana individu yang dipercayai 'berkumpul untuk membincangkan tindakan keganasan dan radikal'.
Suruhanjaya antarabangsa dan kumpulan aktivis dalam satu kenyataan bersama berkata bahawa pindaan tersebut merupakan satu pencabulan ke atas hak asasi manusia.
"Pindaan yang dicadangkan akan memberi kuasa penahanan berpanjangan ke atas suspek, meletakkan mereka kepada risiko penyeksaan, layanan buruk, kehilangan, dan penangkapan sewenang-wenangnya," kata kenyataan itu.
Selain itu, kebimbangan turut ditimbulkan ke atas cadangan melucutkan kewarganegaraan sekiranya rakyat Indonesia didapati menyertai organisasi militan di luar negara, dengan alasan langkah itu bakal menjadikan individu tidak bernegara.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan Indonesia tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi.
Undang-undang berkenaan masih belum mendapat kelulusan Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan sedang menggesa Ahli Parlimen untuk meluluskan semakan secepat mungkin merujuk kepada ancaman keselamatan berterusan daripada kumpulan militan di negara paling ramai penganut Islam itu.
Januari lalu, serangan militan di Jakarta telah menyebabkan lapan maut termasuk empat penyerang.
Sejak itu, polis Indonesia telah menahan puluhan suspek militan di seluruh kepulauan Jawa.
Awal minggu ini, penguasa antikeganasan Indonesia telah membunuh dua lelaki etnik Uighur di Pulau Sulawesi kerana menyertai kumpulan militan Daish paling berprofil tinggi di negara tersebut.
Di Malaysia, April lalu undang-undang yang membolehkan mana-mana individu ditahan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun dengan sambungan dua tahun selepas itu, diperkenalkan semula.