Aktivis anti-apartheid Afrika Selatan Pravin Gordhan meninggal dunia

Bernama
September 13, 2024 21:12 MYT
Bekas aktivis anti-apartheid Afrika Selatan Pravin Gordhan meninggal dunia pada Jumaat, menurut keluarganya. - Gambar fail/REUTERS
JOHANNESBURG: Bekas aktivis anti-apartheid Afrika Selatan Pravin Gordhan meninggal dunia pada Jumaat, menurut keluarganya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Ringkasan AI
  • Pravin Gordhan, bekas aktivis anti-apartheid dan menteri Afrika Selatan, meninggal dunia pada usia 75 tahun akibat kanser. Beliau pernah menjawat jawatan penting seperti Menteri Perusahaan Awam dan Menteri Kewangan sebelum bersara daripada politik pada Mei 2024. Presiden Cyril Ramaphosa menyatakan kesedihan atas pemergian Gordhan dan mengumumkan pengebumian rasmi untuknya.

Menurut kenyataan keluarga, bekas menteri itu meninggal dunia secara aman pada usia 75 tahun di hospital dikelilingi oleh keluarga, rakan terdekat dan rakan seperjuangan lamanya dalam perjuangan pembebasan. Beliau menghidap kanser.
Gordhan menduduki jawatan menteri penting dalam Kerajaan Afrika Selatan sehingga dia bersara daripada politik selepas pilihan raya umum tahun ini pada bulan Mei.
Portfolio terakhir beliau dalam Kabinet ialah Menteri Perusahaan Awam dari 2018-2024, selepas berkhidmat dua penggal sebagai Menteri Kewangan pada 2009 hingga 2014 dan sekali lagi dari 2015 hingga 2017. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri bagi Tadbir Urus Koperasi dan Hal Ehwal Tradisional.
Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah dan dianggotainya berkata dalam satu kenyataan "ANC melabuhkan sepanduknya sambil meratapi pemergian rakan seperjuangan Pravin Gordhan, seorang askar yang berani dalam gerakan kami yang mendedikasikan hidupnya untuk berjuang dan berkhidmat untuk rakyat.''
Presiden Cyril Ramaphosa berkata beliau amat sedih dengan pemergian Gordhan, mengucapkan takziah kepada keluarganya. Beliau mengumumkan pengebumian rasmi untuk bekas menteri itu.
"Pengorbanan peribadi Pravin Gordhan dan usaha serta pencapaiannya dalam pelbagai sektor masyarakat kita memberikannya wawasan, empati dan daya tahan yang menyemarakkan semangatnya untuk berkhidmat kepada negara," kata Ramaphosa.
Beliau berkata Gordhan adalah mercu tanda perjuangan Afrika Selatan menentang rasuah. "Pravin Gordhan berdiri teguh menentang cemuhan dan ancaman yang berpunca daripada beberapa orang di negara kita yang terkesan dengan desakan beliau supaya keadilan ditegakkan terhadap mereka yang cuba melemahkan demokrasi kita dan menjarah sumber dan aset awam kita,'' kata presiden itu.
Gordhan meninggalkan isteri, Vanitha Raju dan dua anak perempuan Anisha dan Priyesha, serta abangnya, Manecklal Gordhan, dan kakaknya Shanta Harilal.
-- BERNAMA
#aktivis anti-apartheid #Afrika Selatan #Pravin Gordhan #meninggal dunia
;