Aktivis alam sekitar Gary Braasch meninggal dunia ketika menyelam di Great Barrier Reef

Hamzah Hamid
Mac 7, 2016 17:49 MYT
Braasch merupakan seorang aktivis perubahan iklim yang aktif dan pernah menerima banyak pengiktirafan atas hasil kerjanya. - Foto sumber Facebook Gary Braasch
Jurufoto alam sekitar terkemuka Gary Braasch meninggal dunia pada Isnin ketika melakukan aktiviti selaman snorkel di unjuran utara terumbu karang Great Barrier Reef, lapor Reuters.
Braasch, 70, dari Portland, Oregon, sedang melakukan aktiviti santai itu bersama seorang rakan di Stesen Penyelidikan Lizard Island yang dikelolakan Australian Museum.
Beliau ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja dokumentasi kesan perubahan iklim terhadap terumbu karang.
Punca kematiannya masih samar dan polis Queensland kini sedang menyiasat.
Sebagai jurufoto Nikon yang membawa gelaran ‘Legend Behind the Lens’, Braasch merupakan seorang aktivis perubahan iklim yang aktif dan pernah menerima banyak pengiktirafan atas hasil kerjanya.
Great Barrier Reef, yang juga merupakan Tapak Warisan Dunia, merupakan ekosistem hidup yang terbesar di dunia, dengan ribuan kompleks terumbu karang pelbagai warna merentangi kawasan seluas lebih 2,000km di luar pesisiran utara Australia.
Pakar sains memberi amaran, sebahagian daripada terumbu itu bakal mengalami kemusnahan kekal sekiranya fenomena El Nino tidak mereda dalam bulan ini.
#aktivis alam sekitar #Gary Braasch meninggal dunia #great barrier reef #kesan perubahan iklim #terumbu karang
;