Akta antiberita tidak benar Singapura dibidas Facebook
Agensi
April 2, 2019 13:21 MYT
April 2, 2019 13:21 MYT
PADA Isnin, Singapura meluluskan akta antiberita tidak benar di Parlimen.
Ia mencetus perasaan bimbang dalam kalangan syarikat dalam talian dan kumpulan hak asasi manusia kerana ia mungkin memberikan kerajaan terlalu banyak kuasa dan menjejaskan kebebasan bersuara.
Menurut undang-undang tersebut, laman sosial seperti Facebook perlu meletakkan amaran pada muat naik yang dinilai ‘palsu’ oleh kerajaan serta membuang komen yang bercanggah dengan ‘kepentingan umum’.
Akta itu diluluskan dua hari selepas pengasas Facebook Mark Zuckerberg menyatakan bahawa kerajaan harus memainkan peranan lebih penting dalam mengawal selia laman internet.
Namun, Simon Milner yang bekerja di bahagian dasar awam Asia di Facebook, kurang setuju dengan keputusan itu.
Susulan pembentangan akta itu, Milner berkata, syarikat tersebut “bimbang berhubung beberapa aspek dalam undang-undang itu yang membenarkan kuasa luas kepada eksekutif Singapura untuk memaksa kami membuang apa-apa yang dilihat sebagai palsu dan secara proaktif menyebarkan pemberitahuan kerajaan kepada rakyat.”
“Sebagai undang-undang yang paling meluas setakat ini, keluasannya menimbulkan risiko besar kepada hak kebebasan bersuara dan mungkin menyebabkan kesan yang merumitkan di Singapura serta di seluruh dunia,” kata Jeff Paine, pengarah urusan Asia Internet Coalition, satu persatuan bagi industri internet dan syarikat teknologi.
Namun, Menteri Undang-Undang Singapura K Shanmugam memberi jaminan bahawa akta tersebut tidak akan menghalang hak kebebasan bersuara.
Katanya pada Isnin, “Akta ini hanya berurusan dengan kenyataan yang tidak benar. Ia tidak berhubung dengan pendapat atau sudut pandangan. Anda boleh meluahkan apa-apa pandangan, sama ada munasabah atau tidak.”
Singapura yang ditadbir oleh parti politik yang sama sejak kemerdekaan daripada Britain lebih 50 tahun lalu, mendakwa bahawa ia terdedah kepada berita palsu kerana posisinya sebagai hab kewangan global yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama, serta akses kepada internet.
Negara itu menduduki tangga ke-151 daripada 180 negara dalam World Press Freedom Index of Reporters Without Borders bagi 2018, di bawah Rusia dan Myanmar.
Malaysia pula berada di tangga ke-145.
#amaran
#anti fake news
#antiberita tidak benar
#Asia
#Facebook
#fake news
#kebebasan bersuara
#kepentingan umum
#kerajaan
#laman sosial
#Mark Zuckerberg
#media sosial
#Myanmar
#Parlimen
#rakyat
#Rusia
#Singapura
#technology
#undang-undang