Aksi wakil rakyat rai hari lahir ketika harga minyak naik undang kritikan
Agensi
September 8, 2022 15:08 MYT
September 8, 2022 15:08 MYT
JAKARTA: Paparan video kejutan ulang tahun kelahiran Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Puan Maharani ternyata mengundang banyak kritikan dari netizen Indonesia.
Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, kelihatan beberapa anggota Dewan Rakyat Republik itu dilihat bernyanyi sambil bertepuk tangan yang disifatkan sebagai tidak sensitif kala rakyat terasa kesan akibat kenaikan harga petrol dan diesel, lapor Tribun News.
“Bangunan Parlimen dikepung kerana rakyat memberontak kerana kenaikan harga minyak. Tetapi apa yang berlaku di dalam sidang DPR, sebaliknya. Ada kejutan buat Ketuanya, Puan Maharani.
“Anda semua dipilih rakyat untuk melindungi kepentingan kami bukan untuk pemerintah,” tulis warganet Indonesia yang menggunakan akaun Twitter @fendigucci3.
Dalam pada itu, pemerhati politik Indonesia turut menyifatkan momen sambutan itu sebagai tindakan yang tidak bijak dan amat sensitif.
Sejurus ciapan itu tular, nama Puan Maharani menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen Indonesia.
Puan Maharani yang merupakan anak perempuan bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri itu didesak memohon maaf kepada rakyat Indonesia.
Sabtu lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel dan keputusan itu sukar dibuat olehnya bertujuan untuk membendung kenaikan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.