Aksi macho.. Capai kasut jatuh motor, panjat gunung lagak Tonto

Razak Chik
Oktober 17, 2019 22:33 MYT
Lagak berani menunggang kuda putih berlatar belakangkan salji yang pertama musim dingin itu dikira penuh simbolik. - Reuters
FILIPINA dan Korea Utara merupakan dua negara berbeza tetapi mempunyai ketua negara yang kongsi satu persamaan – mereka sentiasa berlagak tegas dalam penampilan diri apatah lagi lagak beraksi.
Pada Khamis Filipina digemparkan dengan berita Presiden mereka jatuh motor – bukan ketika tekan minyak, tetapi bertongkat tidak bergerak.
Peristiwa ini menghidupkan kembali keresahan umum terhadap kesihatan Duterte. Minggu lalu, beliau mengaku menghidap myasthenia gravis – sejenis penyakit auto imun yang menyerang saraf; yang mempunyai implikasi yang dianggap serius.
Duterte juga mengaku mengambil ubatan fentanyl akibat kecederaan pada tulang belakang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 2016.
Bagi meyakinkan tahap kecergasan Duterte, sebuah video kemudian tersebar menunjukkan Presiden berbaju 'formal' tanpa bertopi keledar menunggang motorsikal di perkarangan Istana Malacanang.
Laporan juga mendedahkan bahawa Duterte 'jatuh motor' apabila cuba mencapai kasutnya yang tertanggal sewaktu masih duduk di atas motosikal.
Duterte baru-baru ini menunjukkan sikap 'nasionalis tegas' apabila bertindak mengarah penapisan dilakukan kepada filem Abominable yang dianggap propaganda China merubah persempadan di Laut China Selatan.
Sementara itu, 'lagak berani-bukti-lelaki' yang sama dipamerkan Kim Jong-un apabila gambar pemimpin teragung Korea Utara itu menonggang kuda mendaki Gunung Paektu.
Lagak berani menunggang kuda putih berlatar belakangkan salji yang pertama musim dingin itu dikira penuh simbolik, seolah-olah Kim mahu memberi gambaran Korea Utara yang perkasa bagi tontonan satu dunia.
Tidak kurang juga suara suara sumbang di media sosial menyamakan aksi tunggang kuda itu tak ubah babak dalam filem Zorro – Kim rata-rata disifatkan 'Tonto' dan bukan sebenarnya hero.
Gambar Kim beraksi segak dan penuh bergaya disebar meluas hingga menimbulkan spekulasi ini persediaan sesuatu pengumuman akan dibuat bakal menggegarkan dunia.
Ini berdasarkan pengalaman lalu di mana Kim akan berperangai yang sama sebelum mengambil sebarang tindakan – terutama berhubung isu program nuklear Korea Utara.
#Filipina #Kim Jong Un #Korea Utara #pemimpim dunia #Rodrigo Duterte
;