Aksi dan tujuan Pauline Hanson memakai burka di Parlimen dikecam
Agensi
Ogos 17, 2017 17:42 MYT
Ogos 17, 2017 17:42 MYT
Senator Australia, Pauline Hanson yang memakai burka ke Parlimen semalam sebagai sebahagian kempennya untuk melarang pemakaian burka oleh sesetengah umat Muslimah, cepat mendapat kecaman daripada pihak kerajaan dan umat Islam.
Hanson duduk di kerusi beliau selama 20 minit dengan mengenakan burka berwarna hitam sebelum menanggalkannya untuk membuat seruan supaya pakaian tersebut diharamkan daripada khalayak umum atas alasan keselamatan negara.
Pengasas parti One Nation itu memberitahu Dewan Senat bahawa beliau gembira untuk menanggalkan pakaian tersebut kerana ia tidak sepatutnya berada dalam Parlimen itu.
“Jika seseorang yang memakai balaclava (topeng ski) atau topi keledar ke sebuah bank atau bangunan lain, atau di mahkamah, peralatan tersebut harus ditanggalkan.
“Mengapa peraturan ini tidak dikenakan ke atas mereka yang menutup muka atau tidak dapat dikenal pasti?”
Peguam Negara George Brandis menegur Hanson dengan berkata, “Saya tidak akan berpura-pura mengabaikan aksi anda hari ini.
“Kita semua sudah maklum bahawa anda bukan pengikut ajaran Islam. Saya ingin menasihati anda supaya berhati-hati terhadap kesalahan yang mungkin anda lakukan terhadap kepercayaan agama rakyat Australia yang lain," ujarnya.
Adel Salman, Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Victoria berkata tindakan Hanson adalah suatu 'penghinaan terhadap kedudukan beliau'.
“Perkara ini sungguh mengecewakan, tetapi tidak menghairankan kerana beliau sudah sering kali memerli kepercayaan Islam.”