Akses kemanusiaan di Damsyik disekat pihak bertelagah - Penyiasat PBB
Agensi
Mac 7, 2018 08:57 MYT
Mac 7, 2018 08:57 MYT
Penyiasat jenayah perang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penduduk di Ghouta timur telah dihukum dengan kelaparan dan penafian akses kepada bantuan kemanusiaan dan perubatan oleh kedua-dua pihak bertelagah di Syria yang kini memasuki tahun kelima konflik.
Pengerusi Suruhanjaya Inkuiri Antarabangsa di Syria, Paulo Pinheiro berkata serangan tanpa henti terhadap orang awam perlu dihentikan segera tanpa syarat bagi dan membolehkan bantuan kemanusiaan dihulur kepada yang memerlukan.
"Bulan depan, pengepungan kejam di timur akan memasuki tahun kelima, saya ulangi, tahun kelima.
"Seperti yang diterangkan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres minggu lepas bahawa pengeboman berterusan ibarat neraka bumi di Syria.
"Pasukan pro kerajaan menggunakan kelaparan sebagai kaedah peperangan terhadap beratus-ratus ribu orang awam yang berada di wilayah yang terkepung itu.
"Pada masa yang sama, kumpulan bersenjata yang mengepung terus menahan penduduk di Damsyik.
"Tidak boleh ada alasan lagi selepas ini dengan menghukum penduduk dengan kelaparan serta menafikan akses kemanusiaan," jelasnya.
Pinheiro berkata demikian ketika membentangkan laporan yang disediakan di bawah mandat semasa dari Majlis Hak Asasi Manusia yang disokong oleh PBB.
Laporan terbabit membentangkan penemuan penyiasatan semasa selama enam bulan yang dijalankan antara 8 Julai 2017 hingga 15 Januari 2018.
Suruhanjaya itu ditubuhkan tahun yang lalu untuk mendokumenkan pelanggaran hak asasi manusia oleh mana-mana pihak dalam konflik di Syria.