Akibat salah faham, pesakit COVID-19 diisytihar mati dua kali
Astro Awani
April 21, 2021 12:07 MYT
April 21, 2021 12:07 MYT
AKIBAT salah faham, seorang pesakit COVID-19 diisytihar telah meninggal dunia dua kali oleh sebuah hospital di India.
Menurut laporan portal berita NDTV, Gorelal Kori, 58, dimasukkan ke dalam Hospital Kolej Perubatan Vidisha Atal Bihari di Madhya Pradesh selepas menunjukkan simptom jangkitan virus COVID-19.
Pihak hospital telah memberitahu ahli keluarganya keadaan Gorelal semakin kritikal dan kini diberi bantuan pernafasan.
Pada keesokkan harinya, ahli keluarga pesakit tersebut datang ke hospital dan diberitahu perkara yang berbeza.
"Seorang jururawat yang sedang bertugas memberitahu kami bapa saya telah meninggal dunia," anak lelaki Gorelal, Kailash memberitahu portal berita The Hindustan Times.
"Kami terus bergegas masuk ke dalam wad bapa saya dan mendapati dia masih hiduo.
"Jururawat berkenaan kemudian memberitahu kami, berlaku salah faham," katanya.
Apabila dihubungi The Hindustan Times dekan kolej tersebut, Dr Sunil Nandeshwar memberitahu petugas kesihatan terpaksa "mengepam darah ke dalam jantungnya selama dua jam.
"Ketika ini berlaku salah faham antara petugas," dalam usaha untuk memulihkan pesakit berkenaan.
Pada hari yang sama, keluarga Gorelal diberitahu, pembedahan perlu dilakukan ke atasnya bagi membolehkan dia bernafas.
Selepas bersetuju kepada pembedahan berkenaan, mereka sekali lagi dihubungi pihak hospital pada jam 8.30 malam dan dibertahu Gorelal telah meninggal dunia.
"Seorang jururawat memberitahu kami bapa saya meninggal dunia ketika pembedahan ke atasnya dilakukan.
"Namun mereka tidak boleh menyerahkan mayatnya kepada kami kerana dia telah disahkan positif COVID-19," kata Kailash memetik laporan The Hindustan Times.
Kailash turut memberitahu NDTV semasa persiapan untuk upacara pengebumian dilakukan, mereka terima satu lagi panggilan telefon daripada hospital berkenaan yang menyatakan bapa mereka masih lagi hidup.
"Semasa kami di pusat membakar mayat, kami menerima panggilan telefon daripada hospital yang menyatakan bapa saya masih hidup dan diberi bantuan pernafasan," jelas Kailash kepada The Hindustan Times.
"Kami terus bergegas ke hospital dan mendapati ayah kami masih hidup dan diberi alat bantuan pernafasan," katanya lagi.
#COVID-19
#meninggal dunia
#Hospital
#Gorelal Kori
#Hospital Kolej Perubatan Vidisha Atal Bihari
#bantan pernafasan