Akibat disunat tanpa sengaja, warga emas ini terima pampasan lebih RM100,000

Agensi
Ogos 8, 2019 19:08 MYT
Seorang warga emas disunatkan akibat kesilapan pihak perubatan yang salah membaca nota perubatan pesakit lain. - Gambar hiasan
BAGI sesetengah orang, menjalani pembedahan rutin dan pemeriksaan berkala oleh kumpulan perubatan adalah perkara biasa.
Namun, lain ceritanya yang dihadapi seorang warga emas di Britain yang terkejut apabila menyedari dia telah disunatkan tanpa sengaja.
Ia selepas kakitangan Leicester Royal Infirmary melakukan kesilapan dengan membaca nota perubatan seorang pesakit lain.
Susulan kejadian tersebut, Terry Brazier, 70, mendapat bayaran ganti rugi berjumlah 20,000 Pound Sterling (RM102,250).
Memetik laporan Daily Star, semasa kejadian 5 Ogos lalu, Brazier sepatutnya menjalani pembedahan rutin dinamakan sitoskopi melibatkan pemeriksaan pundi kencing dengan menggunakan kamera di hospital berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada prosedur tersebut, Brazier sepatutnya menerima suntikan Botox pada dinding pundi kencingnya.
Bagaimanapun, gara-gara leka berbual bersama jururawat yang bertugas, dia tidak menyedari prosedur berlainan yang sedang dilakukan terhadapnya.
Brazier ternyata terkejut dengan kesilapan itu dan pihak hospital tidak dapat memperbetulkan keadaan selain membayar wang pampasan kepada Brazier.
Dalam pada itu, pihak Hospital Universiti Leicester mengesahkan sudah membuat bayaran pampasan tersebut.
Pengarah hospital tersebut, Andrew Furlong turut memohon maaf dan menegaskan kesilapan sama tidak akan berulang.
#botox #Britain #Hospital Universiti Leicester #sunat #Terry Brazier #wang pampasan
;