Akibat digigit pipi, wanita 'pendendam' pukul burung kakak tua hingga mati
Agensi
Ogos 2, 2018 14:12 MYT
Ogos 2, 2018 14:12 MYT
Seorang wanita berusia 39 tahun telah dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan pada Rabu atas kesalahan kekejaman ke atas haiwan, lapor portal berita Channel NewsAsia.
Tran Thi Thuy Hang dijatuhi hukuman itu oleh mahkamah selepas didapati bersalah memukul burung kakak tua peliharaan anak tirinya hingga mati tahun lalu, ujar Pihak Berkuasa Makanan Agrikultur dan Veterinari (AVA).
AVA memberitahu, pihaknya menerima aduan tentang insiden itu pada 6 November tahun lalu.
Siasatan mendapati, pada 28 Oktober, Tran menggunakan kayu penyidai jemuran untuk memukul burung kakak tua itu beberapa kali gara-gara haiwan itu menggigit pipinya sehari sebelunya.
"AVA menyiasat semua maklum balas tentang kes kekejaman ke atas haiwan. Kami akan mengambil tindakan penguatkuasaan jika ada sesiapa melakukan perkara seumpamanya dan akan bertegas untuk hukuman yang setimpal,” ujarnya.
Di bawah undang-undang itum mereka yang kali pertama didakwa atas kesalahan itu berdepan hukuman denda sehingga S$15,000 (RM44,700), atau dipenjara 18 bulan atau kedua-duanya sekali.