Akibat cuaca sejuk, majlis angkat sumpah Trump dipindah ke lokasi tertutup

Agensi
Januari 17, 2025 07:45 MYT
Bendera digantung di bahagian Barat Bangunan Capitol Amerika Syarikat menjelang majlis angkat sumpah Presiden yang bakal dilantik, Donald Trump. Beliau akan mengangkat sumpah buat kali kedua sebagai Presiden Amerika pada 20 Januari ini. - Gambar AP
WASHINGTON: Majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump, akan dipindahkan ke lokasi tertutup, seperti yang diumumkan pada Jumaat, disebabkan suhu yang sangat sejuk dijangka berlaku di ibu negara.
“Saya telah mengarahkan ucapan pelantikan, doa dan ucapan-ucapan lain diadakan di Rotunda Capitol Amerika Syarikat seperti yang pernah dilakukan oleh Ronald Reagan pada 1985 disebabkan cuaca sangat sejuk,” tulis Trump di Truth Social.
“Kami juga akan membuka Capital One Arena pada hari Isnin untuk menayangkan acara bersejarah ini secara langsung dan bagi menganjurkan Perarakan Presiden. Saya akan menyertai orang ramai di Capital One selepas upacara angkat sumpah saya,” tambah Trump.
CNN melaporkan lebih awal pada Jumaat bahawa rancangan sedang dijalankan untuk Trump dan Naib Presiden yang bakal dilantik, JD Vance, untuk mengangkat sumpah di Rotunda dan pasukan Trump sedang berbincang untuk mengadakan beberapa acara di arena tersebut, tempat Trump akan mengadakan perhimpunan pada hari Ahad.
“Jawatan Kuasa Kongres Bersama bagi Majlis Perasmian Presiden akan menghormati permintaan Presiden yang bakal dilantik dan Jawatankuasa Pelantikan Presidennya untuk memindahkan Majlis Angkat Sumpah yang ke-60 ke dalam Rotunda Capitol AS,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan mereka.
Perkhidmatan Rahsia dan agensi lain termasuk Polis DC dan Polis Capitol AS, sedang berusaha menentukan bagaimana perpindahan majlis angkat sumpah dan perarakan ke lokasi tertutup akan mengubah rancangan keselamatan untuk hari Isnin, menurut dua sumber penguat kuasa undang-undang yang memahami perancangan tersebut.
Agensi-agensi ini kini hanya mempunyai masa dua hari untuk menyusun pelan keselamatan baharu yang sebelumnya memakan masa berbulan-bulan untuk dirancang.
Agensi-agensi ini telah bekerja sejak awal tahun 2024 untuk merancang majlis pelantikan ini, yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri sebagai Acara Keselamatan Nasional Khas, yang memerlukan pendekatan pelbagai peringkat secara persekutuan.
Majlis angkat sumpah Trump dijangka dihadiri oleh ratusan ribu tetamu dengan tiket dan melibatkan kira-kira 25,000 anggota penguat kuasa undang-undang dan tentera.
Sehingga pagi Jumaat, lebih daripada 30 batu pagar - jumlah terbesar yang pernah didirikan untuk acara seperti ini - masih dalam proses pemasangan dan sepatutnya mengawal orang ramai melalui pusat pemeriksaan keselamatan menjelang majlis angkat sumpah dan perarakan Trump yang kini dibatalkan dari Capitol ke White House.
Pegawai bimbang suhu rendah akan membahayakan kesihatan para hadirin dan tetamu - kebimbangan yang disuarakan Trump pada hari Jumaat.
“Saya tidak mahu melihat sesiapa pun cedera atau terjejas dalam apa jua cara. Ia adalah keadaan berbahaya untuk puluhan ribu anggota penguat kuasa undang-undang, penyelamat pertama, anjing K9 polis, bahkan kuda, dan ratusan ribu penyokong yang akan berada di luar selama berjam-jam pada hari ke-20. (Jika anda memutuskan untuk hadir, pastikan abda mengenakan pakaian panas!),” tulis Trump.
Presiden terakhir yang mengangkat sumpah di lokasi tertutup adalah Reagan pada 1985, ketika suhu siang hari turun ke 7 darjah dengan angin sejuk -25 darjah.
Beliau mengangkat sumpah di Rotunda Capitol. Perarakannya juga dibatalkan.
Presiden William Henry Harrison dipercayai telah jatuh sakit akibat selesema semasa majlis angkat sumpahnya pada tahun 1841, di mana beliau memberikan ucapan selama dua jam tanpa memakai kot atau topi, menurut Miller Center dari Universiti Virginia.
Beliau kemudiannya menghidap radang paru-paru dan meninggal dunia sebulan selepas pelantikan.
Tahun ini, suhu pada tengah hari hari pelantikan - ketika Presiden yang bakal dilantik mengangkat sumpah - dijangka berada pada paras rendah sekitar -6°C, iaitu kira-kira 20 darjah di bawah paras normal - kemungkinan yang paling sejuk sejak pelantikan kedua Reagan.
Angin antara 10 hingga 20 mph dengan tiupan sehingga 30 mph dijangka berlaku pada hari Isnin.
Keadaan ini akan menyebabkan suhu terasa sangat dingin. Angin sejuk dijangka berada di sekitar 10 darjah Fahrenheit (-12°C) pada siang hari dan boleh turun ke angka tunggal selepas matahari terbenam.
Hujan dan salji campuran mungkin berlaku pada hari Ahad sebelum acara utama, tetapi hari Isnin setakat ini dijangka sejuk dan berangin, namun kering. - Agensi
#Donald Trump #angkat sumpah Presiden AS #Rotunda Capitol #cuaca sejuk
;