Akhirnya jurulatih diselamatkan, trauma mangsa gua Tham Luang berakhir

Agensi
Julai 10, 2018 19:59 MYT
Mangsa terakhir yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak itu dibawa keluar kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan. - Foto REUTERS
Selepas detik mendebarkan selama 17 hari, kesemua lima mangsa terakhir yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang, di sini sejak 23 Jun lalu berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
Mangsa terakhir yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak itu dibawa keluar kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan.
Ini menjadikan sejumlah 12 pelajar dan seorang jurulatih berjaya diselamatkan sejak operasi bersepadu dilancarkan Ahad lalu.
Lapor Reuters, kelima-lima mangsa itu dilihat dibawa keluar menaiki pengusung dari gua tersebut dan dihantar ke hospital wilayah berdekatan.
BACA: Kenali wira-wira penyelam gua Tham Luang
BACA: Remaja terperangkap dalam gua dipercayai dijangkiti
BACA: Tragedi Gua Tham Luang: Tabik hormat buat mu Ekapol
Mereka merupakan antara lima yang diselamatkan pada Selasa, hari ketiga operasi dijalankan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan media secara rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.
Ketua pasukan operasi, Narongsak Osottanakorn berkata cabaran lebih besar mendepani pasukan penyelamat apabila seorang mangsa perlu dibawa keluar bersama pasukan penyelam Thai Navi SEAL yang menemani mereka sebelum ini.
Menurutnya semua remaja yang kini berada di sebuah hospital di Chiang Mai mempunyai jangkitan dan berada dalam keadaan lemah kerana tidak cukup makan.
Jelasnya, ada di antara remaja itu yang meminta diberikan roti berperisa coklat namun buat masa ini mereka hanya diberikan makanan lembut kerana terlalu lemah.
Mengenai operasi menyelamat pada hari ini yang bermula pada jam 10 pagi, Narongsak berkata, operasi oleh 19 penyelam terlibat dijangka dapat dilengkapkan sepenuhnya pada hari ini.
"Paras air di gua pada hari ini adalah sama seperti paras air sejak dua hari lalu. Saya yakin bahawa remaja-remaja dan jurulatih mereka yang masih terperangkap dapat dikeluarkan pada hari ini dalam jangka masa yang lebih cepat berbanding semalam.
"Seorang doktor dan tiga anggota tentera laut SEAL Thai yang telah berada di dalam gua itu bersama mangsa selama akan turut keluar hari ini jika semua mangsa dapat diselamatkan," katanya.
Menurutnya, operasi pada hari ini dijangka lebih sukar dan mengambil masa lebih lama kerana jumlah individu yang akan dibawa keluar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Thailand Thongchai Lertwilairattanapong dalam sebuah sidang media pada waktu pagi berkata remaja yang termuda dalam pasukan bola sepak Wild Boar itu berumur 12 tahun.
Jelasnya antara ayat-ayat pertama mereka adalah 'saya rindu ibu bapa' dan 'mahu pulang ke rumah'.
Apabila ditanya sama ada mereka akan dibawa ke Rusia bagi menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia, beliau berkata remaja-remaja tersebut terlalu lemah untuk membuat perjalanan jauh dan hanya boleh menonton di kaca televisyen jika keadaan kesihatan mereka bertambah baik.
#Chiang Rai #operasi #pasukan bola sepak #pelajar sesat #Thailand #Tham Luang
;