Akhbar di Myanmar protes wartawan dipenjara
Agensi
April 11, 2014 13:08 MYT
April 11, 2014 13:08 MYT
Beberapa buah akhbar di Myanmar hari ini terbit dengan muka depan yang dihitamkan selepas seorang wartawan negara itu dihukum penjara selama setahun kerana cuba menemubual seorang pegawai jabatan pendidikan.
Zaw Pe, wartawan laman web berita Democratic Voice of Burma (DVB), didakwa atas tuduhan menceroboh dan "mengganggu kakitangan awam" oleh sebuah mahkamah di Magway pada Isnin lalu.
Dia dipenjara bersama Win Myint Hlaing, bapa kepada seorang pelajar, yang bersama-samanya ke jabatan pendidikan itu untuk bertanyakan hal mengenai satu laporan tentang program biasiswa tajaan Jepun. Kejadian itu berlaku pada Ogos 2012.
"Mereka ke pejabat pendidikan itu dengan niat yang mudah. Bapa pelajar itu mahu tahu lebih lanjut (tentang biasiswa itu) dan Zaw Pe mahu melaporkan berita mengenainya," kata Thein Tun, seorang peguam seperti dilaporkan oleh AFP.
Antara akhbar yang terbit dengan protes itu ialah Daily Eleven serta jurnal sukannya.
"Kami terbit dengan muka depan hitam sebagai membantah hukuman ke atas wartawan DVB itu dan membantah gangguan terhadap wartawan," kata ketua pengarang Daily Eleven, Wai Phyo seperti dipetik oleh The Associated Press.
Zaw Pe yang dipindahkan ke penjara pada Khamis menyifatkan hukuman penjara ke atasnya sebagai satu pencabulan ke atas hak dan integriti wartawan.
"Sebagai wartawan, kerja saya ialah membuat temubual -- baik dengan kerajaan atau badan bukan kerajaan. Mendakwa wartawan atas tuduhan menceroboh dan mengganggu kakitangan awam akan menyekat wartawan daripada mendapatkan pegawai kerajaan pada masa akan datang. Ia akan menjejaskan laporan yang seimbang," katanya seperti dipetik oleh DVB.
Hukuman ke atas Zaw Pe ini turut mendapat bantahan aktivis demokrasi di Myanmar dan antarabangsa yang secara umum mempersoalkan proses peralihan demokrasi di negara yang sebelum ini diperintah oleh tentera sejak 1962.
DVB dalam satu kenyataan menegaskan wartawannya tidak menceroboh dan tidak mengganggu kakitangan awam sebaliknya wartawannya itu hanya menjalankan tugas untuk kepentingan awam.
"Biarpun kerajaan membuat banyak ikrar tentang pembaharuan media, kami percaya pemenjaraan Zaw Pe ini adalah satu halangan ke atas kebebasan media di negara ini dan kami mendesak wartawan itu dan tertuduh yang lain dibebaskan segera," kata kenyataan itu.
Pada bulan lepas, empat wartawan serta CEO jurnal Unity Weekly didakwa melanggar Akta Rahsia Negara. Mereka dihadapkan ke mahkamah selepas jurnal itu menyiarkan laporan tentang sebuah kilang yang didakwa menyimpan senjata kimia. Kes itu masih dibicara.
DVB merupakan sumber maklumat bebas sepanjang Myanmar diperintah oleh tentera yang ketika itu beroperasi dari Norway dan Thailand.
Proses peralihan Myanmar kembali ke jalan demokrasi menyaksikan ramai tahanan politik dibebaskan. Kerajaan juga mula melonggarkan syarat ketat kepada media dan beberapa media yang dulunya beroperasi di luar negara kembali ke Myanmar.