Akaun Twitter Donald Trump disekat 12 jam kerana didakwa hasut penyokong
Afiq Ariffin
Januari 7, 2021 09:02 MYT
Januari 7, 2021 09:02 MYT
GARA-gara memuat naik ciapan berunsur menghasut, akaun Twitter milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disekat selama 12 jam.
Ia selepas Trump memuat naik beberapa ciapan dan video rasa tidak puas hatinya terhadap keputusan pilihan raya AS baru-baru ini, termasuk mendakwa pilihan raya itu telah ‘dicuri’ oleh presiden yang dipilih Joe Biden.
Sebaliknya, Trump mendakwa bahawa beliau pemenang sebenar pilihan raya itu.
Jika diperhatikan ketika ini, beberapa ciapan dan video dimuat naik oleh Trump telah dibuang dengan amaran oleh Twitter Safety “ia tidak lagi tersedia kerana melanggar Peraturan Twitter”.
Ia merupakan kejadian pertama yang berlaku sejak Trump dilantik menjadi presiden Amerika Syarikat dan tidak pernah berlaku sebelum ini kerana statusnya sebagai Presiden AS.
Namun, kekebalan beliau ditarik semula selepas Biden memenangi pilihan raya.
Awal pagi ini, berlaku rusuhan di Bangunan Capitol apabila penyokong Trump yang memprotes keputusan pilihan raya itu serta menghalang Joe Biden daripada disahkan sebagai Presiden AS seterusnya.
Susulan itu, sesi pengesahan ditunda malah seorang perusuh turut dilaporkan mati terkena tembakan.
Selepas ciapan tersebut dipadam, Twitter Safety turut menyatakan bahawa akaun Donald Trump telah dikunci selama 12 jam kerana melakukan kesalahan melanggar terma platform mereka.
Malah, Trump juga perlu memadam lagi beberapa ciapan yang didapati tidak mematuhi terma laman sebelum akaun tersebut disekat.
Selain di Twitter, video yang sama turut dimuat naik ke laman Facebook dan YouTube dan ia turut dibuang dari laman berkenaan kerana dikhuatiri boleh menghasut lebih banyak penyokong untuk merusuh.
Timbalan presiden bahagian integriti Facebook, Guy Rosen menerusi akaun Twitter beliau sebentar tadi turut mengesahkan perkara itu.
Manakala YouTube juga turut dilapor telah menarik semula video berkenaan daripada platform mereka dengan menyatakan ia telah melanggar peraturan serta menyebarkan maklumat salah berkenan pilihan raya.
#Donald Trump
#akaun disekat
#ciapan berunsur menghasut
#12 jam
#Twitter
#Facebook
#YouTube
#Joe Biden
#pilihan raya