AS akan usahakan gencatan senjata di Gaza walaupun Ismail Haniyeh sudah tiada - Blinken

Bernama
Julai 31, 2024 22:50 MYT
Amerika Syarikat akan berusaha untuk mendapatkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza walaupun selepas kematian Ismail Haniyeh, kata Blinken. - Gambar fail REUTERS
MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) akan berusaha untuk mendapatkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza walaupun selepas kematian Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Rabu, lapor Sputnik.
Terdahulu pada hari yang sama, pergerakan Palestin Hamas mengesahkan kematian Ismail akibat serangan Israel ke atas tempat penginapannya di ibu negara Iran.
Ismail berada di Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah Presiden baharu Iran.
"Saya telah melihat laporan-laporan tersebut. Apa yang boleh saya katakan ialah tiada apa yang mengurangkan kepentingan untuk mencapai gencatan senjata... saya tidak akan membuat spekulasi tentang kesan yang mungkin berlaku, saya telah belajar selama bertahun-tahun untuk tidak membuat spekulasi kerana kita memang tidak tahu.
"Apa yang saya tahu adalah keperluan mendesak untuk mendapatkan gencatan senjata, dan apa yang saya tahu ialah kami akan terus berusaha ke arah itu setiap hari," kata Blinken dalam satu sidang akhbar.
Dalam wawancara dengan saluran berita Singapura CNA, Blinken berkata Washington "tidak menyedari atau terlibat dalam" pembunuhan Ismail.
Blinken berkata, sukar untuk meramalkan akibat daripada pembunuhan itu, sambil menekankan keperluan untuk gencatan senjata dan menambah bahawa AS "akan terus berusaha selama mana yang diperlukan untuk mencapainya". - BERNAMA
#Ismail Haniyeh #Ismail Haniyeh dibunuh #gencatan senjata #Antony Blinken