AS akan perkenal resolusi baharu UNSC untuk kukuhkan sekatan ke atas Korea Utara
Bernama
Mac 26, 2022 13:06 MYT
Mac 26, 2022 13:06 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan memperkenalkan resolusi baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dikemas kini untuk mengukuhkan sekatan terhadap Korea Utara, kata ketua misi AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield pada Jumaat.
Beliau turut menggesa sekatan sedia ada dilaksanakan secara menyeluruh, bagi mengelakkan Pyongyang melakukan provokasi selanjutnya, lapor agensi berita Yonhap.
"AS akan memperkenalkan resolusi Majlis Keselamatan bab tujuh untuk dikemas kini dan memperhebatkan sekatan susulan provokasi Korea Utara dilihat semakin berbahaya," kata utusan AS itu dalam mesyuarat UNSC yang diadakan di New York.
Terbaharu, Pyongyang melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada Khamis, termasuk 10 ujian peluru berpandu yang lain tahun ini.
Pelancaran peluru berpandu itu sekali gus menamatkan moratoriumnya sendiri terhadap ujian peluru berpandu jarak jauh yang dilaksanakan sejak akhir 2017.
"Majlis Keselamatan harus bersuara secara terbuka dan mengutuk tindakan Korea Utara yang jelas menyalahi undang-undang serta menggalakkan Pyongyang kembali ke meja rundingan," katanya.
Mesyuarat UNSC mengenai Korea Utara jarang berlaku, dan pertama kali seumpamanya pada 2017.
Mesyuarat itu diadakan susulan permintaan AS dan lima lagi anggota majlis termasuk Britain dan Perancis.
Diplomat itu mengulangi AS tetap terbuka untuk mengadakan sesi dialog dengan Korea Utara, tetapi menegaskan mereka tidak boleh berdiam diri menanti Pyongyang kembali ke meja rundingan.
Bagaimanapun tiada tempoh masa khusus mengenai perancangan AS memperkenalkan resolusi baharu UNSC, sama ada ia akan diterima pakai juga tidak diketahui.
AS sebelum ini berusaha mengenakan sekatan tambahan ke atas Korea Utara berikutan provokasi peluru berpandu berulang Pyongyang sepanjang tahun ini, tetapi usaha itu gagal akibat tentangan Rusia dan China, kedua-duanya menggunakan kuasa veto anggota tetap UNSC.
-- BERNAMA