Ajal selepas dijilat anjing peliharaan
Sinar Harian
November 24, 2019 10:41 MYT
November 24, 2019 10:41 MYT
Seorang pemilik anjing menemui ajal akibat jangkitan kuman selepas dijilat anjing peliharaannya.
Lelaki berusia 63 tahun yang tidak dikenali itu dirawat selama dua minggu di hospital dengan mengalami jangkitan paru-paru, gangren dan demam sehingga 41 Celcius.
Dia dijangkiti dengan Capnocytophaga Canimorsus, bakteria yang biasanya ditularkan oleh gigitan namun boleh juga disebarkan melalui jilatan.
Pada awalnya, dia hanya mengalami selesema ketika rawatan awal dan selepas empat hari lelaki tersebut mengalami ruam di wajah, sakit saraf dan lebam di kakinya.
Buah pinggang dan hatinya gagal berfungsi dan jantung juga terhenti. Dia bagaimanapun berjaya dipulihkan dan menggunakan mesin sokongan hayat.
Imbasan otak menunjukkan terdapat pembentukan cecair yang besar di dalam otak. Berikutan kegagalan organ yang pelbagai, doktor terpaksa menamatkan mesin sokongan hayatnya.
Kesnya dilaporkan dalam jurnal perubatan oleh doktor dari hospital Rote Kreuz di Bremen, Jerman.
Jangkitan bakteria itu jarang berlaku dan menyerang satu daripada 1.5 juta, menurut satu kajian di Belanda.
Ia membawa maut sekitar 28 hingga 31 peratus daripada kes, lapor Daily Mail.
Pasukan yang diketuai oleh Dr Naomi Mader menulis, pemilik haiwan kesayangan dengan gejala seperti selesema perlu segera mendapatkan nasihat perubatan.
"Doktor yang berhadapan dengan pesakit seperti itu harus bertanya mengenai hubungan dengan anjing dan kucing," katanya. - Agensi
#Capnocytophaga Canimorsus
#dijilat anjing peliharaan
#gangren
#jangkitan kuman
#jangkitan paru-paru
#pemilik anjing
#Rote Kreuz
#selesema