Aishwarya Rai, anak perempuan juga positif COVID-19
Astro Awani
Julai 12, 2020 19:55 MYT
Julai 12, 2020 19:55 MYT
Pelakon popular Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan dan anak perempuannya disahkan positif COVID-19, hari ini.
Bekas ratu cantik dunia itu disahkan positif sehari selepas bapa mertuanya, megastar veteran Bollywood, Amitabh Bachchan, 77, serta suami Aishwarya, Abhishek Bachchan,44, dimasukkan di Hospital Super Speciality Nanavati, Mumbai selepas ujian pengesahan COVID-19 mendapati dua beranak itu positif jangkitan itu.
Menteri Kesihatan Maharastra, Rajesh Tope dalam cipaan di Twitternya pada Ahad memaklumkan yang Aishwarya dan anak perempuannya yang berusia lapan tahun disahkan positif.
Reuters pula melaporkan, setakat ini belum ada sebarang maklumat yang menyatakan mereka dimasukkan di hospital atau sebaliknya.
Terdahulu, kenyataan rasmi daripada Kementerian Kesihatan memberitahu, Amitabh dan Abhishek berada dalam keadaan stabil.
Legenda perfileman Hindu, Amitabh dalam ciapannya di Twitter pada Sabtu memaklumkan dia dan anak lelakinya, Abhishek disahkan virus itu.
Dalam hantaran itu, beliau juga meminta mereka yang mempunyai kontak rapat dengannya membuat ujian saringan.
Beberapa minit kemudian, Abhishek juga dilihat berkongsi hantaran yang sama.
Laman sosial Amitabh dan Abhishek dibanjiri dengan ucapan oleh selebriti dan ahli politik India supaya mereka cepat sembuh.