Ais laut Antartika catat rekod terendah untuk musim sejuk - Saintis Australia

Bernama
September 10, 2024 07:00 MYT
Ini adalah tahap liputan ais laut Antartika paling rendah yang pernah direkodkan sejak pemantauan menggunakan satelit bermula. - Gambar fail/BERNAMA
SYDNEY: Ais laut di Antartika mencatatkan tahap liputan terendah untuk musim sejuk pada awal September, menurut saintis Australia.
Penyelidik dari Program Kerjasama Antartika Australia (AAPP) dan Biro Meteorologi (BoM) pada Selasa melaporkan bahawa ais laut di Antartika hanya meliputi 17.0 juta kilometer persegi pada 7 Sept.
Ini adalah tahap liputan ais laut Antartika paling rendah yang pernah direkodkan sejak pemantauan menggunakan satelit bermula.
Sebelum ini, rekod terendah dicatatkan pada 2023, iaitu 17.1 juta kilometer persegi pada tarikh yang sama.
Penyelidik turut menyatakan bahawa purata jangka panjang bagi liputan ais laut Antartika pada 7 September ialah 18.4 juta kilometer persegi.
Penyelidik dari AAPP, Will Hobbs berkata rekod terendah ini menunjukkan bahawa sistem ais laut di Antartika sedang berubah.
"Walaupun pada musim panas 2024, ais laut masih dalam julat "normal", kita kini melihat turun naik yang tidak menentu pada musim sejuk, dan kini menghasilkan tahap ekstrem musim sejuk paling rendah yang pernah direkodkan," katanya menerusi kenyataan media.
Beliau juga menyebut bahawa pemanasan global sejak dua tahun kebelakangan ini, mungkin menjadi faktor utama kadar penurunan liputan ais laut ini.
"Kita sedar bahawa dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun paling panas yang pernah dicatatkan untuk Bumi, dengan suhu global lebih 1.5 darjah Celsius untuk tempoh yang panjang.
Pemanasan global ini kini dapat disaksikan menerusi lautan di sekitar Antartika dan berkemungkinan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada penurunan liputan ais laut," katanya.
-- BERNAMA
#saintis australia #musim sejuk #rekod terendah #ais laut di Antartika
;